The Straits Times Singapura melaporkan menjadi kebiasaan apabila
melihat masyarakat Melayu menghantar anak mereka ke sekolah Cina atau
menghadiri kelas bahasa Cina yang diadakan di kelas agama.
Masyarakat Kelantan menuruti jejak langkah bekas Menteri Besar, Datuk
Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menghantar lima cucunya ke sekolah Cina.
Nik Aziz adalah contoh di mana menggalakkan generasi muda Kelantan mempelajari bahasa Cina.
Kelantan mempunyai populasi seramai 1.6 juta dengan 95 % terdiri
daripada masyarakat Melayu, manakala bakinya adalah Siam, Cina, dan
India.
Walaupun di seluruh negara ramai ibu bapa yang menghantar anak mereka
ke sekolah Cina dan menghadiri kelas tuisyen, tumpuan pelajar Melayu di
Kelantan lebih tinggi.
Akhbar berkenaan yang membuat tinjauan di sekolah agama Kelantan turut
melihat pelajar perempuan dengan purdah dan baju kurung belajar bahasa
Cina dan bertutur serta menulis dalam Mandarin.
Mereka mempelajari kelas bahasa Cina di Sekolah Rendah Agama Tarbiyah
Mardhiyah yang diajar oleh Wang Yin Kang, Cina Muslim dari Wilayah Yunan
di China.
Sebahagian pelajar Wang adalah ahli Persatuan Bahasa Cina yang turut
mengambil kelas drama dan bertutur dialog dalam bahasa Mandarin dengan
diselia oleh Wang.
Akhbar berkenaan turut melaporkan kebanyakan masyarakat Melayu turut
mengikut peribahasa,"tuntutlah ilmu hingga ke negeri China."
Kerajaan negeri Kelantan juga memainkan peranan mereka dalam
mencetuskan fenomena itu, dengan membiayai kelas Mandarin di sekolah
apabila menghantar tiga guru Melayu-Islam belajar di China pada 2009.
Kerajaan negeri Kelantan turut mengambil guru dari China untuk mengajar bahasa Mandarin di sekolah.
Walaupun statistik pelajar Melayu belajar di sekolah vernakular itu
sukar ditemui, namun Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Pang
Chaw berkata jumlah berkenaan agak besar.
Hu yang menyertai sayap bukan Islam parti berkenaan mendedahkan antara
20% hingga 50% populasi pelajar di 15 sekolah rendah dan dua sekolah
menengah di Kelantan adalah Melayu.
The Straits Times turut memetik Hu sebagai berkata sekolah rendah di Rantau Panjang mempunyai dua pertiga pelajar Melayu.
Ia adalah perbezaan terbesar dengan negeri lain di Malaysia apabila
secara puratanya hanya 10% pelajar Melayu mengikut kelas bahasa Cina di
sekolah vernakular berkenaan.
Penyelidik, Heng Buai Chin berkata kerajaan Kelantan menyokong pelajar
Melayu memasuki sekolah Cina bagi mewujudkan integrasi antara kaum.
"Pelajar Melayu di sekolah vernakular Cina lebih terbuka menerima
budaya Cina seperti wayang, mengira, dan berfikir dalam bahasa Cina,"
katanya dipetik akhbar berkenaan.
Wang, 51, mengajar Mandarin kepada 160 pelajar seminggu dan telah menetap di Kelantan sejak 18 tahun.
Beliau memiliki diploma dari Timur Tengah mempelajari bahasa Arab dan
memutuskan untuk mengajar bahasa Arab dan Mandarin di beberapa sekolah
agama.
"Saya terkejut pada mulanya apabila pelajar Melayu mahu mempelajari
Mandarin. Kemudian saya sedar ia meluaskan peluang kerjaya mereka," kata
Wang.
"Semua sedar China sedang pesat membangun dan pelaburannya ada di mana-mana," katanya.
Pelajar tingkatan lima, Wan Ashikin Ismail berkata kepada Straits Times
bahawa sahabat karibnya adalah berbangsa Cina dan mereka bertutur
Mandarin.
"Saya tidak dilayan berbeza oleh pelajar dan guru. Saya turut
dimotivasikan supaya berkarya," kata pelajar berusi 16 tahun itu yang
bercita-cita menjadi novelis Cina. - 7 Oktober, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment