Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menafikan terdapat campur tangan pucuk pimpinan parti dalam proses pemilihan kali ini.
"Ada 150,000 perwakilan, macam mana saya hendak campur tangan. Undi
semua sulit.
Semua orang boleh beri pandangan tetapi undi itu hak setiap
perwakilan," kata Perdana Menteri dalam sidang medianya hari ini.
Sebelum ini, pelbagai pihak mendakwa wujudnya arahan daripada pucuk
pimpinan Umno supaya perwakilan mengekalkan status quo terutama untuk
tiga jawatan Naib Presiden Umno.
Ia dikatakan dibuat melalui arahan kepada warload Umno di samping
arahan secara langsung yang dibuat oleh pemimpin tertinggi kepada ketua
bahagian Umno di seluruh negara.
Kerana takutkan kemarahan pemimpin utama Umno yang berkuasa dalam
kerajaan, mereka melupakan permintaan daripada pemimpin popular mereka
termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.
Hasilnya, tiga Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri
Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussain dipilih semula
perwakilan Umno dalam pemilihan semalam.
"Jelaslah yang Presiden parti itu, Mohd Najib Abdul Razak, yang menang
tanpa bertanding, memperoleh apa yang beliau idamkan iaitu pengekalan
status quo jawatan Naib Presiden. Sama ada beliau campur tangan secara
tersurat atau tersirat, pasukan Naib Presiden beliau kekal.
"Ini baik bagi Najib tetapi tidak semestinya baik bagi Umno. Tidak ada
tanda nyata bahawa Umno semakin muda, segar dan dibarisi generasi
pelapis kecuali beberapa kerat yang menang kerusi biasa MT," tulis Datuk
Kadir A Jasin, bekas editor akhbar pro Umno itu dalam blognya hari ini.
Namun hari ini, Najib menafikan ada campur tangan pemimpin tertinggi Umno termasuk beliau dalam pemilihan itu.
Najib berkata, persaingan sengit antara Hishammuddin dan Mukhriz sudah
boleh dijangka memandangkan akar umbi Umno sudah pasti akan memilih
pemimpin yang popular dan berpotensi.
"Ia sudah dijangka. Proses pemilihan terbuka. Bila diserahkan kepada
akar umbi, bila ada tokoh popular tentu ada saingan. Beliau (Mukhriz)
menunjukkan beliau berpotensi.
"Itu persaingan tokoh popular. Ada sokong Hishammuddin, ada pilih
Mukhriz. Itu pertandingan yang sihat," katanya dalam sidang media itu.
Najib sebaliknya berkata sistem "electoral collage" yang diamalkan
pertama kali oleh parti Melayu itu perlu dipatuhi memandangkan ia sudah
dipilih.
"Sistem electoral college itu kita gunakan untuk mengundi bagi
mengimbangi bahagian besar dan kecil. Itu sistem yang kita pilih, kita
kena patuh," katanya kepada pemberita di Putrajaya. – 20 Oktober, 2013
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment