DAP
hari ini menuntut agar Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),
Jabatan Audit Negara menyiasat penggunaan RM6.08 bilion Jabatan Perdana
Menteri yang tidak mempunyai butiran jelas kegunaannya.
Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong (gambar) mendakwa, peruntukan Bajet
2014 bagi JPM itu termasuk RM4 bilion dana fasilitasi, RM1 bilion untuk
program pembangunan dan RM900 juta untuk penyusunan semula masyarakat.
Perbelanjaan lain termasuk juga projek khas RM202.8 juta dan projek mesra rakyat RM665 juta.
"Saya menyeru kerajaan dan menteri bertanggungjawab, Datuk Seri Idris
Jala untuk menjelaskan penggunaan dana berkenaan," kata Liew di
Parlimen, Kuala Lumpur.
Liew turut mendakwa senarai penggunaan dana berkenaan juga hanyalah
permulaan daripada keseluruhan bajet yang mempunyai kelompangan dan
boleh digunakan untuk membiayai penyokong politik Perdana Menteri.
Tambahnya lagi, peningkatan 13% perbelanjaan jabatan berkenaan yang
bernilai RM14.6 bilion pada 2013 kepada RM16.5 bilion untuk 2014 juga
keterlaluan.
"Keseluruhan Bajet 2014 yang diumumkan pun hanya meningkat sebanyak
1.5% daripada RM260 bilion pada 2013 kepada RM264 bilion," katanya.
Malah, peningkatan daripada RM3.6 bilion pada 2003 kepada RM16.5 bilion
pada 2013 melangkaui bajet kementerian lain sejak sedekad lalu,
katanya. - 30 Oktober, 2013.The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment