Pakar
ekonomi Bank Dunia Dr Frederico Gil Sander meramalkan kerajaan akan
memotong subsidi minyak kali kedua tahun depan bagi menangani defisit
fiskal yang dihadapi selama 15 tahun berturut-turut.
September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan
kenaikan harga RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, sekaligus menimbulkan
kemarahan dan kritikan daripada orang ramai dan juga pembangkang Pakatan
Rakyat (PR).
"Kelihatannya mungkin ada satu lagi pusingan (rasionalisasi subsidi
minyak)," kata Frederico semasa ditemui sebaik berakhir Dialog Pasca
Bajet 2014 anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia di Bukit Kiara hari ini.
Frederico yang bertugas di Jabatan Asia Timur dan Pasifik, Membasmi
Kemiskinan dan Pengurusan Ekonomi, berkata berdasarkan pembentangan
Bajet baru-baru ini adalah isyarat jelas Putrajaya akan mengambil
langkah rasionalisasi tersebut pada tahun depan.
Subsidi minyak merupakan jumlah terbesar yang dibelanjakan oleh
kerajaan setiap tahun, dianggarkan berjumlah RM24.8 bilion atau 53%
daripada keseluruhan RM47 bilion wang yang dibelanjakan untuk subsidi
sahaja.
"Jika dilihat pada peruntukan, untuk peruntukan minyak dijangka akan menurun secara signifikan tahun depan.
"Di mana saya berpendapat ia adalah isyarat kemungkinan akan berlaku
rasionalisasi subsidi minyak bagi memastikan sasaran dapat dicapai,"
kata beliau yang merujuk kepada sasaran kerajaan mengurangkan defisit
fiskal pada paras 3% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada
2015 dan bajet berimbang pada 2020.
Sementara itu, Frederico berpandangan pelaksanaan cukai barangan dan
perkhidmatan (GST) yang diumumkan baru-baru ini adalah sesuatu yang
tidak dapat dielakkan bagi mengelak kebergantungan kepada hasil minyak
semata-mata.
Jumaat lepas, Najib mengumumkan melaksanakan cukai kontroversi GST bermula 1 April, 2015 pada kadar 6%.
"GST sangat berguna, ia bagi mengelak terlalu bergantung kepada hasil minyak semata-mata," katanya lagi.
Dalam pada itu, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang turut berada
dalam dialog tersebut tidak menolak cukai tersebut mampu menjana
pendapatan kepada negara tetapi menegaskannya bukan jaminan akan tidak
boros serta melebihi bajet yang telah diperuntukan.
"Apabila menjana hasil yang besar, kerajaan juga berbelanja besar menjangkaui peruntukan setiap tahun
"Sejak beberapa tahun ini, kerajaan telah memohon bajet perbekalan
tambahan kerana peruntukan yang diberikan tidak mencukupi," kata Pua.
Awal bulan lalu sebelum pembentangan bajet, Dewan Rakyat telah
meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2013) sebanyak
RM14,125,580,900 kepada beberapa kementerian sebagai perbelanjaan
mengurus.
Selain itu, Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini juga mendedahkan
beberapa ketirisan dan kebocoran melibatkan beberapa kementerian
kerajaan yang mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyifatkan
pembentangan bajet kali ini menunjukkan keseriusan kerajaan untuk
menangani defisit fiskal terutamanya selepas laporan oleh agensi
penarafan global Fitch Ratings yang meletakkan Malaysia pada kedudukan
negatif.
"Kita perlu menghantar mesej bahawa kita serius untuk mengatasi defisit fiskal.
"Tapi saya juga bersetuju supaya satu langkah yang tegas perlu diambil
untuk mengatasi kebocoran dan ketirisan seperti didedahkan Ketua Audit
baru-baru ini," kata Khairy.
Najib membentangkan bajet 2014 bertemakan "Memperteguh Ketahanan
Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji", merangkumi lima
teras utama bajet iaitu merancak aktiviti ekonomi, mengukuh pengurusan
fiskal, menggungul modal insan, mempergiat pembangunan bandar dan luar
bandar, dan mensejahtera kehidupan rakyat. - 28 Oktober, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment