
PAS
akan memfailkan injunksi dalam masa terdekat ini ke atas seorang wakil
rakyat Umno di Perak yang didakwa meraih kemenangan dengan menyalahi
peraturan Akta Pilihan Raya, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk
Seri Nizar Jamaluddin (gambar).
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering itu, injunksi
tersebut adalah antara empat daripada lapan tuntutan petisyen
pilihanraya umum ke-13 (PRU13) yang bakal dibawa ke Mahkamah Persekutuan
bagi proses rayuan setelah ditolak oleh Mahkamah Pilihan Raya, Kuala
Kangsar sebelum ini.
"Kita akan failkan tuntutan kita ke atas wakil rakyat Umno tersebut.
Kita mahu mahkamah memberikan injuksi kepada dia untuk melarangnya masuk
ke Dewan Undangan Negeri Perak kerana telah melanggar undang-undang
pilihanraya di mana sebelum ini kita mempunyai tempoh masa bantahan
selepas PRU namun tidak pada (PRU13)," katanya dalam satu forum Jelajah
Solidariti Orang Kena Zalim (OKZ) di Kolej Universiti Zulkifli Muhammad,
Selangor.
Nizar berkata antara lain rayuan petisyen pilihanraya itu turut
mengemukakan beberapa bukti wujudnya rasuah oleh Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) dan Umno.
"Semua bukti mengenai penipuan ketika (PRU13) telah kita kumpul
termasuk daripada rakaman video, rasuah siapa petugas (SPR) dan wakil
Umno yang memberi rasuah termasuk catatan masa dan alamat. Semuanya
lengkap, kerana itu kita mengharapkan rayuan diterima bagi mendapat
perbicaraan penuh terhadap kes tersebut. Jika tidak dapat semua, kita
berharap hakim menerima dua daripada petisyen itu," katanya.
Nizar turut mendedahkan alasan pertukarannya kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) Pasir Panjang kepada DUN Changkat Jering semasa PRU13 lalu.
"Saya menang di DUN Pasir Panjang pada PRU12, namun apa yang dilakukan
oleh Umno, mereka menukarkan kerusi daripada MIC kepada lubuk Umno.
Kemudiannya menambah pengundi baru di DUN Pasir Panjang sebanyak 11,000
orang. Tidak cukup dengan itu, SPR juga menambah 3,000 pengundi tegar
Umno dari Lumut untuk didaftarkan di Pasir Panjang selain memindahkan
800 penggundi dari DUN Pasir Panjang ke DUN Setiawan," katanya.
Dalam PRU13 lalu, Nizar memenangi DUN Changkat Jering dengan jumlah
undi 14,495, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rosli Husin
dengan undi sebanyak 13,325. - 5 Oktober, 2013.
The Malaysian insider
No comments:
Post a Comment