Thursday, October 31, 2013

PAS bawa turun penceramah ‘heavyweight’ walaupun Sungai Limau kubu kuat

OLEH MD IZWAN
October 31, 2013
 
PAS tidak mengambil mudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau kali ini, apabila menurunkan penceramah ‘heavyweight’ iaitu bekas naib presiden Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib (gambar) dalam misi mempertahankan kubu kuat mereka itu.

Muhammad ataupun dikenali ‘Mat Tyson’ sebelum ini banyak membantu PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, terutamanya dalam merampas kerusi-kerusi kubu kuat Umno di Selangor.
Dalam ceramah pertama di Sungai Limau malam tadi, bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, Umno sekarang jauh bezanya dengan dahulu, di mana parti tersebut lebih mendatangkan kemudaratan daripada kebaikan kepada negara.

 "Berbeza dengan Umno dan pentadbiran kerajaan yang diterajui perdana menteri terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman hinggalah Tun Hussein Onn. Sekarang saya lihat Umno lebih banyak bawa kemudaratan.
"Keadaan sekarang tidak lagi selamat seperti dahulu, lihat sajalah jenayah yang berlaku setiap hari," kata Muhammad dalam ceramah berkelompok di Simpang 3 Luar, Sungai Limau.

Muhammad dilihat berperanan penting dalam memancing penyokong tegar konservatif Umno khususnya di luar bandar.
Semasa PRU13 lalu, Muhammad menjelajah ke seluruh pelosok kawasan pedalaman yang menjadi penempatan masyarakat Melayu di seluruh negara, berkempen atas tiket PAS.
Sementara itu, Muhammad juga menyeru agar pengundi Sungai Limau memilih calon PAS, Mohd Azam Abd Samad sebagai isyarat menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dianggap sebagai punca kenaikan harga barang.
Sebahagian penyokong PAS yang hadir mendengar ceramah Muhammad.
"BN ini semua barang naik. Kemudiaan baru-baru ini perkenalkan lagi cukai bebankan rakyat.
Sebahagian penyokong PAS yang hadir mendengar ceramah Muhammad."Penduduk Sungai Limau perlu berikan isyarat dengan mesej tidak menyokong BN," katanya lagi, disahut dengan laungan takbir para penduduk.
"Kalau tak sampaikan mesej, mereka akan kata apa kita buat semua rakyat sokong kita."

Antara jawatan tertinggi yang pernah Muhammad semasa bersama Umno ialah Naib Presiden (2000-2003) dan Ketua Penerangan (2008-2009).
Malah, kejayaan Pakatan Rakyat (PR) mempertahankan Selangor pada PRU13 lalu dengan majoriti dua pertiga turut dikaitkan dengan faktor kemasukan Muhammad menyertai PAS pada April lalu.

Selain Muhammad, beberapa nama besar penceramah juga menghangatkan kempen kali ini yang tinggal tidak berapa hari lagi menjelang proses membuang undi antaranya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau kosong selepas wakil rakyatnya yang juga bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak meninggal dunia pada 26 September lalu.
Azizan adalah penyandang kerusi DUN itu sejak PRU 1995.
Pada PRU13 Mei lepas, Azizan mengekalkan DUN Sungai Limau bagi penggal kelima berturut-turut dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru termasuk sepupunya Mohd Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN.
Sebanyak 58 saluran di 17 pusat mengundi akan dibuka untuk PRK kali ini. - 31 Oktober, 2013. The Malaysian Insider

1 comment: