Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) kelihatan tidak yakin dengan peluang
anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir dalam pemilihan naib presiden Umno esok
dengan mengatakan peluang Menteri Besar Kedah itu sekadar 50% kerana
tidak menjadi calon pilihan Presiden, Datuk Seri Najib Razak.
Katanya,
Mukhriz adalah calon yang ingin membawa perubahan kepada Umno tetapi
malangnya terdapat pemimpin sedia ada enggan menerima perubahan itu.
"Mukhriz bertanding jawatan naib presiden ketika berumur 49 tahun dan ramai menganggap dirinya masih muda.
"Namun saya tidak melihat faktor itu kerana pemimpin terdahulu Umno
telah biasa ditonjolkan dengan kepimpinan di masa usia muda antaranya
Tun Abdul Razak.
"Semasa saya menjadi Perdana Menteri dahulu pun saya membariskan
pemimpin muda untuk menjadi Menteri Besar, antaranya Tan Sri Isa Samad
yang menjawat jawatan itu ketika usia dalam lingkungan 30an," kata Dr
Mahathir dalam majlis sambutan Aidiladha di Kuala Lumpur hari ini.
Dr Mahathir berkata berdasarkan sejarah Umno sendiri, perwakilan akan
memilih calon mengikut kehendak presiden dan katanya di masa
pemerintahannya terbukti apabila tiada calon yang menang menentang
pemerintahan beliau.
Katanya, pemilihan sayap Umno baru-baru ini juga terbukti apabila calon
yang mendapat restu presiden berjaya memenangi jawatan yang
ditandinginya.
"Ini tafsiran saya. Saya tidak melihat apa-apa perubahan meskipun Umno menggunakan sistem pemilihan baru.
"Umno seharusnya memandang lebih jauh kepada Pilihan Raya Umum ke-14
dan jangan hanya melihat dalaman Umno kerana parti itu hanya bertujuan
menaikkan pemimpin tertentu tanpa memikirkan kepentingan rakyat.
"Ramai yang melihat Umno perlu berubah namun masih belum ada perubahan
yang dilakukan dari segi kepimpinan. Jika tiada perubahan dalam
kepimpinan maka tiada perubahan dalam parti," katanya.
Mesyuarat peringkat bahagian dan pemilihan anggota Majlis Tertinggi
Umno esok akan menjadi titik penentu bagi melengkapkan barisan
kepimpinan parti di belakang presiden dan timbalan presiden yang menang
tanpa bertanding, selain ketua pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang
memperoleh mandat minggu lalu.
Jawatan Naib Presiden parti turut ditandingi oleh Datuk Seri
Hishammuddin Hussein; Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; bekas Ketua Menteri
Melaka, Senator Datuk Seri Mohd Ali Rustam; bekas Menteri Besar Negeri
Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Menteri Dalam Negeri, Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - 18 Oktober, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment