Monday, October 21, 2013

Pemilihan MT tenggelam dek kehangatan Naib Presiden

21 Okt 2013

Pemilihan UMNO 2013 bagi penggal 2013-2016 peringkat Majlis Tertinggi (MT) yang berakhir kelmarin walaupun penting, namun ia ditenggelamkan dengan kehangatan pemilihan peringkat Naib Presiden. 

Seramai 64 calon menawarkan diri merebut 25 slot dalam MT dan senario di Pusat Penjumlahan Undi Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hanya mula menumpukan perhatian kepada nasib semua calon terbabit sekitar jam 2 pagi kerana sebelum itu semua mata tertumpu kepada saingan mendebarkan antara penyandang Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Paduka Mukhriz Mahathir.

Seperti pemilihan sebelum ini, keputusan pemilihan peringkat itu kebiasaannya sudah dijangkakan. Pemimpin yang terpilih seperti biasa setiap kali selepas diumumkan keputusannya ialah mereka yang popular, berjawatan dalam kerajaan seperti menteri atau timbalan menteri atau sekurang-kurangnya berjawatan dalam agensi tertentu seperti FELCRA dan FELDA.
Jarang sekali atau hampir tidak ada dalam kalangan mereka yang berjaya bertanding atas tiket profesional atau individu yang sememangnya tidak banyak memberi kelebihan kerana faktor tidak popular.

Senario itu nampaknya kekal pada pemilihan tahun ini walaupun UMNO memperkenalkan sistem pemilihan terbuka atau undian elektoral dengan memberi peluang kepada 146,500 perwakilan berbanding 2,500 perwakilan sebelum ini menentukan pemimpin yang layak.

Sebaik saja keputusan rasmi diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali semalam, semua 25 ahli MT adalah mereka yang popular dan memiliki kriteria seperti disebutkan. Memang tidak dinafikan senarai itu menggabungkan muka ‘baru’ dan lama, namun hakikatnya mereka semua adalah muka lama yang dikenali semua perwakilan, malah boleh dikatakan seluruh rakyat Malaysia.

Mengungguli senarai ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (186 undi). Sejak awal penjumlahan undi, Tok Pa sentiasa berada di hadapan yang lain berbanding calon lain yang sentiasa berubah kedudukan mereka berdasarkan jumlah undi diperoleh. Nasib menyebelahi wakil Pemuda UMNO dan Selangor, Datuk Sohaimi Shahadan apabila pemimpin muda itu diumumkan berada pada kedudukan ke-25 dengan 90 undi. Itu pun kerana hampir semua menteri besar dan ketua menteri selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri tidak menawarkan diri bertanding - kecuali Menteri Besar Perlis, Azlan Man (kalah) dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan (menang pada kedudukan ke-11 dengan 165 undi) - jika tidak, pastinya semua calon MT dikuasai pemimpin peringkat Pusat atau pembesar negeri berkenaan.

Cubaan beberapa individu bersandarkan kekuatan sendiri termasuk bekas EXCO Pemuda, Tun Faisal Ismail Aziz (calon nombor 60), bekas Timbalan Ketua UMNO Tanjung Piai, Datuk Nasir Safar (53); Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Dr Zubir Harun (55) dan Ahli Jawatankuasa Bahagian Ampang, Razali Husain (34) - sekadar menyebut beberapa nama - gagal sepenuhnya kerana mereka tidak atau kurang dikenali.

Namun, terdapat juga calon yang memiliki kekuatan tersendiri seperti bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang cuba membawa paradigma politik baru dalam parti dan bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO Datuk Hamidah Osman yang dipilih mewakili sayap berkenaan ke pentas MT tetapi mereka tidak diminati perwakilan.

Bekas Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Zaharah Osman yang kembali mewarnai kancah politik negara turut ditolak perwakilan walaupun baru dinobatkan sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian Paya Besar, Pahang minggu lalu.

No comments:

Post a Comment