Sebanyak
RM40 juta diperlukan untuk membaik pulih kawasan sekitar Sungai Bertam,
Ringlet di sini dan membina penempatan baharu bagi penduduk kawasan itu
yang terlibat dalam banjir kilatawal hari ini.
Anggota Parlimen Cameron Highlands, Datuk Seri G. Palanivel (gambar)
berkata beliau akan segera membuat permohonan peruntukan itu kepada
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Sekiranya peruntukan diluluskan dengan segera, Sungai Bertam akan
dibaik pulih dan penduduk yang tinggal di tepi sungai perlu dipindahkan
ke rumah baharu di Tanah Rata atau di kawasan lain," katanya kepada
pemberita ketika melawat tempat kejadian hari ini.
Arus deras dan banjir kilat pada pukul 1 pagi ini, memusnahkan
kira-kira 80 rumah dan beberapa kenderaan di kawasan penempatan Lembah
Bertam itu.
Kejadian akibat air Sungai Bertam melimpah ekoran pelepasan air
empangan Sultan Abu Bakar, Ringlet itu turut menyebabkan tiga terbunuh -
dua daripadanya lemas manakala seorang lagi akibat serangan jantung.
Seorang wanita Indonesia pula masih hilang dipercayai dihanyutkan arus deras dan seorang lelaki tempatan cedera.
Mengenai bantuan kepada mangsa banjir kilat yang dipindahkan ke pusat
pemindahan banjir di Dewan Orang Ramai Ringlet, beliau berkata bantuan
seperti makanan, baju dan keperluan lain akan segera disalurkan kepada
mereka.
Seramai 54 mangsa melibatkan 12 keluarga di pindahkan ke pusat pemindahan banjir itu. – Bernama, 23 Oktober, 2013.
begitu lalainya manusia.
ReplyDelete