
GAMBAR fail menunjukkan beberapa
orang berdiri di tepi poster filem Chennai Express di sebuah pawagam di
Kaherah pada 3 Oktober lalu.
SYDNEY - Bintang filem terkenal India, Shah Rukh Khan menganggap
filem-filem Bolyywood menjadi popular disebabkan terdapat semangat
kekeluargaan yang ditampilkan di dalam filem tersebut, lapor agensi
berita AFP semalam.
Shah Rukh turut menyatakan selain semangat kekeluargaan itu, tarian
dan lakonan yang serius telah menyebabkan filem-filem Bollywood menjadi
popular dalam kalangan penonton.
"India mempunyai kepelbagaian penduduk yang berjumlah 1.2 bilion dan
terdapat golongan yang tidak terlalu kaya di beberapa tempat.
"Apabila seseorang itu menonton televisyen, mereka akan berfikir ia
merupakan satu majlis untuk seisi keluarga untuk sepanjang tahun.
"Justeru, nenek dan cicit juga menonton filem di pawagam," katanya kepada Perbadanan Penyiaran Australia di sini.
Dia menyatakan demikian sebelum menamatkan lawatannya ke Sydney untuk menghadiri festival seni Parramasala.
Menurut Shah Rukh, ekoran tabiat menonton penduduk India itu,
seseorang itu perlu menghasilkan filem yang menampilkan aksi-aksi
menarik untuk setiap orang.
Antara aksi itu adalah seperti terdapat adegan pergaduhan, menyanyi,
menangis, kegembiraan, lagak ngeri dan kemuncak kepada jalan cerita yang
dipertontonkan kepada orang ramai.
Shah Rukh pernah berlakon dalam filem Chennai Express yang mencipta kutipan pecah panggung di India.
Menurutnya, semangat kekeluargaan dalam filem-filem Bollywood itu
telah menjadi daya tarikan untuk penonton dari negara lain menonton
filem-filem Bollywood.
"Beberapa peminat di Jerman menyatakan, filem-filem India menyediakan
elemen itu yang menyebabkan anda berasa tersentuh (dengan unsur-unsur
kekeluargaan)," katanya.
"Ia menyebabkan anda terasa kembali kepada budaya dan tempat asal
anda. Orang ramai mahu mengimbas kenangan lama dan semua perkara yang
baik-baik," katanya. - Agensi
No comments:
Post a Comment