Sejumlah
15 kertas siasatan telah pun dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) ekoran pendedahan yang dibuat oleh Laporan Ketua Audit
Negara 2012 yang diedarkan di Parlimen minggu lalu, kata Pengarah
Siasatannya, Datuk Mustafar Ali.
Mustafar dalam kenyataannya berkata siasatan telah pun dijalankan di
bawah Akta SPRM 2009, dan pihaknya juga telah mengadakan perbincangan
dengan Jabatan Audit Negara bagi mendapatkan maklumat yang boleh
membantu penyiasatan dan lain-lain tindakan sewajarnya.
"SPRM juga telah menubuhkan Pasukan Khas bersama dengan Jabatan Audit Negara bagi mengambil tindakan susulan.
"SPRM yang menerajui Pasukan Khas ini akan membentangkan hasil
penemuan, pelan tindakan dan cadangan bagi mengambil tindakan terhadap
pihak-pihak yang didapati melakukan salah laku rasuah, penyelewengan,
salah guna kuasa dan pemalsuan," katanya dalam kenyataan yang diedar
kepada media hari ini.
Selain memandang serius pendedahan laporan audit berkenaan, SPRM jelas
Mustafar akan mengambil tindakan tegas sewajarnya termasuk mengesyorkan
tindakan disiplin kepada agensi-agensi berkaitan.
"Justeru, sekiranya ada-ada unsur rasuah, salah guna kuasa dan
pelanggaran Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib)
1993 dan Arahan Perbendaharaan, SPRM akan mengambil tindakan," katanya.
"Bagi Laporan Ketua Audit Negara 2011, sebanyak dua kes telah dibawa ke
mahkamah manakala lima orang pegawai kerajaan telah dikenakan tindakan
tatatertib," katanya.
Pada masa yang sama, hasil tindakan bersama SPRM dengan lain-lain
agensi kerajaan, Mustafar berkata, tindakan penambahbaikan sistem dan
prosedur serta tatatcara kerja bagi mengurangkan risiko, ruang dan
peluang gejala rasuah juga telah diambil.
Pihaknya turut memuji langkah proaktif Ketua Setiausaha Negara Tan Sri
Dr Ali Hamsa, menubuhkan jawatankuasa khas untuk meneliti perkara itu
bagi mengelakkan kes sama berulang dalam laporan audit akan datang.
"Pada masa sama, tindakan paling tegas perlu diambil terhadap mereka
yang cuai dan gagal mematuhi peraturan dan undang-undang, dan
lebih-lebih lagi terhadap mereka yang terlibat dalam gejala rasuah,"
katanya.
Pembangkang telah membangkitkan beberapa kes ekoran pendedahan laporan
Ketua Audit Negara, antaranya adalah kehilangan aset polis bernilai
RM1.33 juta, kos membawa penyanyi K-Pop semasa Sambutan Hari Belia
Kebangsaan, dan juga penggunaan tanpa had 106 kad kredit American
Express untuk kegunaan Pengarah dan Pegawai Eksekutif Khazanah Nasional
Berhad (Khazanah).The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment