Apartmen mewah Grand Plaza di Bayswater, London, kini kepunyaan Felda. - 3 Oktober, 2013.Pembelian
kompleks apartmen mewah Felda bernilai £98 juta (RM497 juta) sedang
disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan
dijangkakan menjejaskan peluang Tan Sri Isa Samad dalam perebutan
jawatan naib presiden Umno.
The Malaysian Insider difahamkan terdapat ketidakpuashatian dikalangan
pemimpin Umno berhubung perbelanjaan besar dibayar oleh Felda Investment
Corp (FIC) UK Properties untuk Grand Plaza Serviced Apartments di
kawasan Bayswater, London yang terkenal dikalangan rakyat Malaysia
menetap di ibukota United Kingdom (UK) itu.
“Harganya imenjadi buah mulut orang Umno kerana ianya terlalu mahal dan
sesuatu yang tidak seharusnya Felda laburkan,” kata seorang “warlord”
Umno kepada The Malaysian Insider.
“Terdapat cukup kontroversi berhubung penyenaraian FGVH, jadi kita
tidak mahu satu lagi peluru untuk pembangkang gunakan,” katanya merujuk
kepada penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd tahun lepas.
Difahamkan juga SPRM sedang mengkaji perkara ini untuk melihat sama ada
terdapat unsur rasuah dalam perjanjian yang dimuktamadkan 4 September
lepas.
Sumber memberitahu SPRM sedang bekerjasama dengan pihak-pihak lain untuk menyiasat perkara ini.
“Ini merupakan perkara sensitif kerana ia melibatkan agensi yang
dipengerusikan oleh pemimpin Umno yang bertanding. Ia tidak seharusnya
dilihat sebagai cara untuk mengalahkan Isa,” kata satu sumber kepada The
Malaysian Insider.
Isa merupakan salah seorang daripada tiga pencabar kepada tiga
penyandang jawatan naib presiden Umno iaitu Menteri Dalam Negeri Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin
Hussein.
Isa
(gambar) yang popular itu dinamakan sebagai pengerusi Felda dua tahun
lalu dan FGVH tetap disenaraikan walaupun terdapat bantahan daripada
sesetengah peneroka yang takut mereka kehilangan kawalan terhadap tanah
mereka.
Beliau mempertahankan pembelian itu apabila Setiausaha Agung DAP Lim
Guan Eng mempersoalkan jumlah dibayar untuk membeli Grand Plaza Serviced
Apartments minggu lepas dan apa untungnya terhadap sejuta peneroka
Felda.
“Ini bukan isu luar biasa. Tabung Haji juga beli beberapa bangunan di
London,” kata bekas menteri besar Negeri Sembilan itu bulan lepas
merujuk kepada Lembaga Tabung Haji.
“Kami membeli kerana kami mahukan asset,” tambah beliau.
Felda dan anak syarikatnya FGVH sebelum ini membelanjakan RM86 juta
untuk membeli Grand Borneo Hotel di Kota Kinabalu, RM110 juta untuk
pembuat kad pintar dan pemaju pertanian kampung Iris Corp dan hartanah
di UK.
Grand Plaza merupakan apartmen mewah terbesar di London yang mempunyai 198 unit apartmen dan seluas 105,044 kaki persegi.
Terletak berhampiran dengan stesen subway Bayswater, 90% daripada unit
penuh setiap bulan dan Isa mengatakan ianya di tangga pertama dalam
carian Google dan 75% daripada penjualan berlaku secara atas talian.
Akan tetapi pengkritik mengatakan Felda seharusnya melabur kepada
sektor perladangan berbanding dengan hartanah atau berkaitan dengan
pelancongan.
“Terdapat untung lebih besar jika ia melakukan kajian dan pembangunan
untuk produk kelapa sawit berbanding dengan urusan hartanah,” kata
seorang pegawai dari syarikat berkait kerajaan.
“Agak menghairankan melihat Felda membeli asset bukan teras apabila
Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd melepaskannya untuk
menggalakkan keusahawanan,” tambahnya. – 3 Oktober, 2013.
The Malaysian Insider
macam2 yw...
ReplyDelete