Friday, October 18, 2013

TI-M gesa SPRM siasat dakwaan penyandang Naib Presiden Umno amal politik wang

OLEH MD IZWAN October 18, 2013
Transparency International Malaysia (TI-M) mendakwa tiga penyandang Naib Presiden mengamalkan politik wang menjelang pemilihan parti itu esok dan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) campur tangan.
Presiden badan pemantau rasuah itu, Datuk Akhbar Satar (gambar), berkata pihaknya membuat dakwaan berkenaan selepas menerima beberapa maklum balas terhadap ketiga-tiga penyandang yang memegang jawatan menteri dalam Kabinet Datuk Seri Najib Razak.
"TI-M menerima banyak maklum balas mengenai terdapat sejumlah besar wang diedarkan tahun ini untuk membeli undi menjelang pemilihan Umno.

 "Kami difahamkan penglibatan wang yang besar dan diedarkan pada program khas diadakan oleh penyandang Naib Presiden, yang juga memegang jawatan menteri kanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, TI-M juga mempersoalkan peranan SPRM dalam menangani isu politik wang yang berlaku dalam Umno serta bukan hanya sekadar alasan masalah tersebut adalah masalah dalaman sesebuah parti.
"TI-M mahu tahu apakah tindakan SPRM dalam isu melibatkan politik wang ini.
"Walaupun Umno mengatakan ia adalah isu dalaman parti, SPRM harus menyiasat sama ada sumber wang tersebut diagihkan sepadan dengan kedudukan kewangan individu calon tersebut, dan jika ia didermakan kepada parti atau bahagian, sama ada ia dibayar atas tujuan membantu perniagaan," katanya.

Tiga penyandang naib presiden yang mempertahankan jawatan tersebut adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Mereka dicabar oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad, bekas Ketua Menteri Melaka, Senator Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Akhbar berkata, isu politik wang tidak boleh lagi disembunyikan kerana ia melibatkan skandal wang yang besar dan penyalahgunaan jentera kerajaan untuk tujuan kelangsungan politiknya.
Selain itu, katanya, penggunaan politik wang dan salah guna jentera juga adalah sesuatu yang tidak adil kepada calon lain yang bertanding tetapi tidak mempunyai kemampuan dan aset sama seperti calon berkenaan.
“Bagaimana pula dengan nasib calon lain yang tidak mempunyai kapasiti sama," katanya.

Pemilihan Umno kali ini yang menggunakan sistem baru "electoral college" menyaksikan 146,500 perwakilan daripada 191 bahagian Umno akan mengundi serentak bagi memilih pimpinan baru terutama persaingan sengit untuk tiga jawatan Naib Presiden serta 25 kerusi Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Langkah tersebut diambil bagi memerangi politik wang dalam Umno yang berlaku setiap kali pemilihan diadakan, namun sistem baru ini tidak menghalang daripada politik wang dalam Umno terus berlaku.
 
 – 18 Oktober, 2013. The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment