Thursday, October 10, 2013

TPP: Kefahaman rakyat masih rendah. Mungkinkah Tun M dan DSAI akan sepentas


Badrul Hisham Shaharin 
  •  Badrul Hisham Shaharin
KUALA LUMPUR – Wakil Badan Bertindak Bantah TPP (Bantah), Che'Gu Bard berkata kadar kefahaman rakyat terhadap isu perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) cukup rendah.

Namun, selepas beberapa siri jelajah dijalankan di seluruh Semenanjung Malaysia, beliau akui ada sedikit perubahan apabila orang ramai mula bercakap soal TPP.

“Kadar kefahaman rakyat cukup rendah. Sebab itu, kami berjuang betul-betul. Saya rasa paling tidak mula meningkat sedikit apabila orang ramai mula bercakap soal TPP, sekarang. Orang mula bercakap tentang padi, beras, ubat, tembakau dan sebagainya.

“Apabila kami memberi contoh-contoh, adalah contoh-contoh yang memang berlaku. Jadi, saya rasa rakyat sudah mula memahami,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui pada sidang media #BantahTPPA, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Kebangsaan memberitahu, seluruh jawatankuasa yang terlibat telah mengedarkan risalah ‘Malaysia Bukan Untuk Dijual’ bagi memberi pendedahan kepada orang ramai berhubung isu TPP ini.

“Jelajah semalam yang terakhir di Selangor. Beratus ribu risalah ‘Malaysia Bukan Untuk Dijual’ telah kami edarkan ke seluruh negara.

“Kita terima sambutan yang baik. Mood dan momentum TPP ini juga turut dibentuk,” katanya.

Mengulas lanjut soal hasrat mereka untuk membawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bersama-sama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pentas Perdana : Selamatkan Kedaulatan Negara, Tolak TPPA, esok malam, beliau yakin keduanya cukup matang untuk mengetepikan isu politik domestik.

“Jika Tun M dan DSAI hadir, bagi saya, kedua-duanya negarawan yang faham sempadan masing-masing...yang faham isu ini (TPP).

“Saya hormati Tun M dan DSAI. Saya percaya kedua-duanya matang untuk membawa rakyat membantah dan menyelamatkan kedaulatan negara,” katanya.

Pentas Perdana bakal berlangsung malam esok di Kampung Baru dan satu himpunan aman #BantahTPPA dijadualkan, Jumaat ini

No comments:

Post a Comment