- Nov 30, 2013
- HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR:
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kenaikan
gaji kepada ahli Dewan Negeri Selangor tetap akan dilaksanakan namun
ianya boleh dibincang semula jika ada keperluan.
Katanya, tiada penangguhan akan
dilakukan terhadap keputusan yang telah diluluskan di Dewan Negeri
Selangor pada Rabu lalu itu sebaliknya akan berkuatkuasa pada 1 Januari
2014 ini.
“Insya-Allah (kenaikan) ini akan
diteruskan kerana perkara ini sudah dibincangkan dan diluluskan di dewan
tetapi boleh dibincang semula kalau perlu,” katanya dipetik
Selangorkini sebagai berkata.
Biarpun tidak jelas apa yang
dimaksudkan dengan ruang perbincangan semula itu, namun banyak pihak
melihat ianya merujuk kepada kadar kenaikan yang dikritik banyak pihak
kerana didakwa terlalu tinggi dan mendadak.
Untuk rekod, keputusan untuk
melaksanakan kenaikan gaji Adun Selangor itu mendapat persetujuan semua
anggota Dewan Negeri sama ada dari Pakatan Rakyat (PR) dan juga Barisan
Nasional (BN) ketika dibentangkan Rabu lalu.
Bagaimanapun kadar kenaikan
sehingga 300 peratus itu mendapat kritikan banyak pihak yang mendesak
ianya dikaji semula sebelum dilaksanakan.
Sementara itu, mesyuarat Pakatan Rakyat (PR) Selangor pada 4 Disember ini dijangka akan membincangkan perkara ini.
No comments:
Post a Comment