Sebuah
majlis strategik peringkat tertinggi perlu dibentuk oleh Pakatan Rakyat
untuk menyusun rancangan menawan Putrajaya dalam pilihanraya umum akan
datang, kata ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang (gambar).
Kit Siang berkata majlis tersebut perlu supaya ketiga-tiga parti dalam
Pakatan Rakyat boleh merancang strategi bersama untuk menang.
Katanya setiap komponen PR telah mendapat faedah daripada menjadi ahli PR.
"Tidak diragui lagi bahawa dengan membentuk Pakatan, setiap satu
daripada ketiga-tiga parti DAP, PKR dan PAS berjaya merebut lebih banyak
kerusi parlimen dan negeri berbanding jika setiap parti ini bertanding
secara bersendirian.
"Dengan kerjasama itu juga mereka mampu meningkatkan jumlah keseluruhan
kerusi yang dimenangi di seluruh negara," kata veteran DAP itu dalam
satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau merujuk ucapan Mohamad Sabu ketika Muktamar Tahunan ke-59 PAS
minggu lalu di mana Timbalan Presiden PAS itu berkata parti Islam itu
tidak akan berkembang sekiranya tidak mengadakan kerjasama dengan PKR
dan DAP.
“Kalau PAS berjuang secara sendirian, sudah tentunya jajahan kita tidak
lebih daripada Rantau Panjang (utara Kelantan) sehingga Kemaman
(Terengganu).
“Di bawah Pakatan Rakyat, jajahan kita melebar sehingga ke Selangor dan Insya Allah sampai ke Johor,” kata Mohamad.
Sambil menyokong kenyataan Mohamad, Kit Siang berkata keanggotaan PAS
dalam PR telah membantu parti itu memenangi dua lagi kerusi parlimen
pada pilihanraya umum lepas.
"Kegagalan PAS di Kedah pada tahun 2013 tidak boleh dikaitkan dengan
penyertaan PAS dalam Pakatan, sebaliknya kerana faktor dalaman.
Penjelasan yang sama boleh dikemukakan untuk memahami kemerosotan
sokongan terhadap PAS di Kelantan," kata Kit Siang.
Beliau juga berkata sekiranya benar sokongan terhadap PAS di negeri
majoriti pengundi Melayu terjejas, sudah tentu pencapaian parti itu di
Terengganu tidak akan meningkat.
Kit Siang berkata pertambahan penduduk secara pesat khususnya di
Selangor, Kuala Lumpur dan Johor akan menyebabkan peningkatan jumlah
kerusi parlimen dan negeri.
"Kebanyakan kerusi baru ini dari segi kaum adalah kerusi ‘campuran’.
"Jika PAS hendak terus berkembang di luar empat negeri utara, ia perlu
bekerjasama dalam konteks Pakatan untuk meningkatkan sokongan Melayu dan
juga bukan-Melayu.
"Di negeri-negeri utara, PAS perlu memperkukuhkan diri dan Pakatan di peringkat dalaman," katanya. - 26 November, 2013 -
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment