Timbalan Presiden Jaringan Orang
Asli Kelantan (JKOAK), Harum Asir menyelar Presiden PAS, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang yang menggunakan istilah "kawasan rayau" bagi Orang
Asli.
Harum berkata, kenyataan Abdul Hadi itu mengecewakan kerana Presiden
PAS itu tidak memahami mengenai konsep pemilikan tanah adat.
"Dalam artikel The Malaysian Insider bertajuk Orang Asal sampai bila nak merayau,
Presiden PAS itu ada menyebut Orang Asli tidak seharusnya mengharapkan
kerajaan menyediakan kawasan rayau untuk mereka kerana sudah tiba
masanya bagi Orang Asli keluar daripada kebiasaan.
"Ingin saya tegaskan kami tidak menggunakan kawasan rayau kerana tanah
adat ini mempunyai sempadan dan zon tanah yang dikenalpasti dengan jelas
oleh kami secara peta minda atau peta komuniti," katanya selepas
menyerahkan memorandum bantahan cadangan pengukuran tanah di Suruhanjaya
Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), di Kuala Lumpur semalam.
Harum berkata, kerajaan negeri Kelantan harus belajar dan mengambil
tahu konsep pemilikan tanah adat kerana tindakan memberikan hak milik
secara lot individu tertakluk bagi lot rumah dan lot dusun akan
menyebabkan tanah Orang Asli mengecil dan seterusnya bakal kehilangan
tanah.
Katanya, mengikut data dan maklumat yang terkandung dalam laporan
Inkuiri Nasional Suhakam membuktikan jumlah keluasan tanah Orang Asli
kian berkurangan dan hilang.
Ketua Persatuan Belia Orang Asli Kelantan, Dandi Johar, berkata
sebelum ini terdapat perbincangan meja bulat mengiktiraf hak Orang Asli
di Universiti Malaya pada 12 Oktober, Pengarah Sumber Manusia
Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kelantan, Mohad Zainudin Mohamed
menyatakan kerajaan negeri sudah membuat keputusan mewartakan tanah
Orang Asli mengikut Seksyen 62, Kanun Tanah Negara iaitu secara
komuniti.
Katanya, Mohd Zainudin turut berkata tanah tersebut bakal dimajukan dan
Orang Asli akan mendapat faedah daripada hasil keuntungan projek
tersebut.
Dandi berkata, lebih mengecewakan apabila kerajaan negeri Kelantan
hanya berunding dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) tanpa
berunding secara terus dengan masyarakat Orang Asli.
"Orang Asal bukan bodoh, kerajaan berikan kami geran, namun Orang Asal
hendak buat apa dengan geran? Ia boleh dijual dan apa yang kami mahu
ialah hak untuk mendapatkan tanah sepatutnya diberikan kepada kami,
sekiranya hanya beri dua atau enam ekar kami tolak.
" Sejak berkurun-kurun lagi kerajaan sentiasa meminggirkan kaum Orang
Asli dan menafikan hak, sudah sampai masa kerajaan mengiktiraf kami
setaraf dengan rakyat Malaysia lain, kami tidak mahu selama-lamanya
digelar yang lain-lain dalam istilah perkauman negara," katanya.
Dandi turut menyelar Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar
Nik Abdullah yang menafikan dakwaan JKOAK menuduh kerajaan negeri tidak
prihatin dengan kebajikan Orang Asli serta tetap meneruskan pengukuran
tanah adat.
Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Tanah,
Pelaburan dan Sumber Asli hairan mengapa JKOAK tidak terus datang
berjumpa kerajaan negeri membicangkan hal tersebut.
Dandi berkata, JKOAK tidak pernah berhenti mengambil inisiatif berjumpa dengan kerajaan negeri.
"Benar kita tidak berjumpa secara terus dengan beliau kerana usaha kita
selalu dihalang. Tetapi, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini
JKOAK sentiasa mengadakan perbincangan dan rundingan bersama Exco dan
wakil kerajaan namun sehingga kini suara kami tidak pernah didengar,"
katanya.
Gua Musang mempunyai perkampungan Orang Asli paling ramai di Kelantan
dengan jumlah 14,000 penduduk yang kebanyakannya tinggal di Kampung Pos
Pasir dan Kampung Pos Bahai. - 2 November, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment