Kementerian
Kesihatan mengeluarkan arahan supaya perkhidmatan pesakit di dalam wad
Hospital Bersalin dan Pusat Perubatan Cina N S (NSCMH) digantung,
berkuat kuasa serta merta.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata
hospital itu didapati melakukan 10 pelanggaran Akta Kemudahan dan
Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 dan peraturannya.
"Pelanggaran ini meliputi perkara melibatkan perkhidmatan bagi pesakit
di dalam wad dan pesakit luar. Satu daripada contohnya adalah NSCMH
kekurangan doktor residen sepenuh masa bidang teras tertentu dalam
lesennya, dengan itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan
pesakit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, hospital itu tidak dibenarkan menerima pesakit baharu dan
pesakit sedia ada di dalam wad akan dipindahkan ke hospital lain kerana
kementerian mengutamakan keselamatan pesakit dan penjagaan kesihatan
berkualiti.
Dr Noor Hisham berkata, langkah penggantungan itu diambil susulan
siasatan terperinci terhadap aduan diterima kementerian pada Ogos dan
dibuktikan menerusi penemuan diperoleh semasa lawatan pengesahan
dilakukan di premis hospital itu pada 4 September.
"Kementerian sudah dua kali mengeluarkan surat tunjuk sebab iaitu pada
18 September dan 21 Oktober meminta hospital itu memberikan butiran
terperinci berhubung langkah penambahbaikan yang diambil dan langkah
yang dirancang untuk mengatasi 10 pelanggaran itu," katanya.
Beliau berkata, satu mesyuarat khas diadakan pada 17 Oktober untuk
bertemu wakil hospital itu dan ahli seumur hidup NSCMH bertujuan
memberikan penjelasan terperinci berhubung 10 pelanggaran itu yang
dikesan semasa lawatan pengesahan dan juga membincangkan penyelesaian
sesuai terhadap masalah dihadapi hospital itu.
"Pengurusan hospital diberi masa 14 hari bekerja untuk menjawab surat
tunjuk sebab kedua bertarikh 21 Oktober dan tempoh itu tamat pada 8
November.
"Berikutan kegagalan pihak pengurusan hospital mengatasi dan menangani
dengan sewajarnya 10 pelanggaran itu, kementerian tidak mempunyai
pilihan selain mengeluarkan notis penggantungan perkhidmatan pesakit di
dalam wad di hospital itu bagi memastikan amalan perubatan selamat dan
melindungi kepentingan pesakit," katanya. - Bernama, 22 November, 2013.
No comments:
Post a Comment