Kerajaan
Negeri Selangor mengeluarkan tawaran akhir untuk membeli empat syarikat
konsesi air negeri itu pada jumlah RM9.65 bilion dalam satu surat
tawaran yang dihantar kepada pengendali syarikat berkenaan semalam.
Empat syarikat konsesi tersebut adalah Syarikat Bekalan Air Selangor
Sdn Bhd, Konsortium Abbas Sdn Bhd, Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat
Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd yang meliputi industri air di
Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Selangor hari ini, tawaran
tersebut adalah hasil daripada beberapa siri perbincangan antara
kerajaan negeri dengan Kementerian Tenaga, Tenaga Hijau dan Air (KeTTHA)
demi kepentingan menubuhkan industri air secara holistik di Selangor.
Kenyataan itu berkata, surat tawaran yang dihantar menerusi anak
syarikat kerajaan negeri iaitu Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) perlu
dijawab dalam masa 14 hari atau selewat-lewatnya jam 5 petang pada 4
Disember.
KDEB turut menetapkan ekuiti keempat-empat syarikat konsesi air yang
memberi pulangan sebanyak 12 peratus dikira sehingga 31 Dis 2012, tidak
dikompaun dan dengan potongan bagi mana-mana pembayaran dividen yang
terdahulu, akan dibeli kerajaan negeri.
"Tawaran itu juga menyatakan bahawa KDEB akan menyelesaikan semua
hutang berkaitan air tertunggak oleh empat syarikat termasuk bon dan
pinjaman komersial serta pinjaman kerajaan yang berkaitan," katanya.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar), dalam
kenyataan itu berkata, jika pemegang saham keempat-empat syarikat
tersebut merasakan mereka berhak mendapat jumlah lebih daripada yang
ditawarkan, mereka boleh meminta perkara itu untuk dibawa ke timbang
tara antarabangsa.
Katanya, ia boleh memecahkan kebuntuan rundingan berikutan kerajaan
negeri sudah bersedia dengan rancangan pengambilalihan industri air
tersebut.
"Tawaran yang dibuat bersesuaian ketika Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak dan Menteri KeTTHA, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menyatakan
sokongan untuk menyatukan industri air di negeri tersebut menerusi
surat yang dihantar pada Jun dan September lalu," katanya.
Abdul Khalid berkata, beliah berharap pemegang saham keempat-empat
syarikat tersebut dapat menerima tawaran yang dilihat akan memberi
pulangan menguntungkan. - Bernama, 22 November, 2013.
No comments:
Post a Comment