Sunday, December 15, 2013

Ahli Parlimen pembangkang batal demonstrasi, pilih sesi ‘bertemu’ rakyat

OLEH JENNIFER GOMEZ December 15, 2013  Selepas menerima pelbagai halangan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pemimpin Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) memutuskan untuk mengadakan sesi bertemu orang ramai selama sejam esok sebelum tengah hari di Dataran DBKL.

Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan merangkap Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai (gambar), berkata rancangan tersebut ditukar bagi mengelak polis melakukan sekatan jalan menghalang orang ramai menghadiri perhimpunan.
"Ia adalah hari bekerja, jika terdapat sekatan jalan raya ia pasti tidak selesa kepada orang ramai.

 "Kami mahu memastikan mesyuarat tersebut berjalan dengan lancar," katanya menjelaskan alasan keputusan tersebut dibuat.
Tan berkata, orang ramai boleh datang pada jam 11 pagi untuk berjumpa ahli Parlimen kawasan mereka dan menyatakan bantahan serta rasa tidak puas hati terhadap kenaikan tarif cukai pintu yang baharu.
Beliau juga menggesa kepada pihak berkuasa supaya tidak mewujudkan sebarang halangan pada esok hari.

"Kami adalah ahli Parlimen yang dipilih dan mahu berjumpa dengan rakyat kawasan kami untuk mendengar keluhan mereka.
"Kami harap polis hormat perkara tersebut dan bersikap tenang," katanya.
Tan juga menjemput Ahli Parlimen Barisan Nasional dari Titiwangsa dan Setiawangsa, Datuk Johari Abdul Ghani dan Datuk Ahmad Fauzi Zahari untuk turut serta pada sesi tersebut kerana tarif baharu tersebut juga akan meliputi penduduk di kawasan mereka juga.

Jumaat lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor membidas pembangkang yang disifatkannya sebagai gila "berdemonstrasi" berkenaan rancangan untuk mengadakan bantahan kenaikan cukai pintu.
Tengku Adnan berkata, pembangkang hanya berminat mempolitik dan mensensasikan isu tersebut walaupun permohonan maaf dibuatnya susulan kekeliruan yang tercetus.

Ada penduduk berkata, mereka perlu membayar sebanyak 300% lebih cukai.
Bagaimanapun, Tan berkata, pertemuan esok hanya sesi "bertemu" rakyat kerana  Isnin adalah hari bekerja.
DBKL menghantar notis kepada semua pemilik hartanah di Kuala Lumpur memaklumkan mengenai kenaikan penilaian hartanah, yang akan berkuat kuasa pada 31 Disember ini.

Notis tersebut bagaimanapun, menyatakan jika terdapat bantahan ke atas kenaikan yang dicadangkan, pemilik hartanah perlu menghantar bantahan mereka kepada DBKL sebelum 17 Disember.
Warga Kuala Lumpur kebanyakannya marah terhadap kadar kenaikan tersebut kerana peningkatan yuran taksiran tersebut terlalu tinggi.
Difahamkan, notis semakan dihantar kepada 507,800 pembayar cukai di kawasan bandar Kuala Lumpur. - 15 Disember, 2013. TMI

No comments:

Post a Comment