Pendapat
Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed selari dengan dapatan kaji
selidik UMCEDEL, kata Datuk Saifuddin Abdullah. - Gambar The Malaysian
Insider oleh Afif Abd Halim, 24 Disember, 2013.Keputusan
hasil kaji selidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti
Malaya (UMCEDEL) membuktikan bahawa pendapat Pengerusi Jawatankuasa
Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed adalah berasas,
kata bekas Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah.
Saifuddin yang ditemui ketika pengumuman hasil kaji selidik UMCEDEL di
Universiti Malaya hari ini berkata, jangkaan Nur Jazlan bahawa Barisan
Nasional (BN) akan mengalami kekalahan lebih teruk di kawasan bandar
dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang berikutan kenaikan
harga barang dan kos kehidupan selari dengan dapatan UMCEDEL bahawa
peningkatan kos berkenaan akan menjadi penentu kelangsungan BN.
"Jazlan bercakap ikut pengalaman beliau. Saya percaya beliau membuat
kajian. Kajian UMCEDEL ini membuktikan kata-kata Nur Jazlan itu benar,"
kata Saifuddin.
UMCEDEL mendapati kenaikan kos barangan, tarif elektrik dan harga
minyak memberi kesan kepada kehidupan rakyat Malaysia secara
keseluruhannya, dan tanpa sebarang tindakan, BN akan mengalami keadaan
sukar dalam PRU14.
"Tiga isu ini adalah isu utama. Dalam tempoh enam bulan kalau kita
tidak selesaikannya, kesannya mungkin berpanjangan," kata bekas timbalan
menteri Pengajian Tinggi itu.
Hasil kajian UMCEDEL terhadap 1,676 responden di Semenanjung Malaysia
yang dijalankan pada 6 hingga 8 Disember lalu mendapati 42% responden
beranggapan kenaikan harga minyak memberikan kesan kepada kehidupan
mereka diikuti 34% kenaikan harga barang dan kenaikan kadar tarif
elektrik sebanyak 24%.
Pengarah UMCEDEL, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, berkata
pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga tidak lagi mampu menjadi
"pelampung penyelamat" buat BN untuk PRU14 memandangkan impak bantuan
one-off kewangan berkenaan tidak lagi dirasai rakyat.
"Seramai 52% tidak bersetuju BR1M akan meningkatkan sokongan kepada BN
kerana mampu mengurangkan kos sara hidup, manakala 42% sahaja
bersetuju,” katanya.
Pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pula menyaksikan 61%
responden tidak bersetuju, dengan hanya 20% sahaja yang bersetuju.
"Pengundi Cina lebih tinggi peratusan penolakan dengan 67%, kerana
sebahagian besar mereka merasakan akan berlaku kenaikan harga barang
jika cukai itu dilaksanakan.
"Manakala pengundi Melayu yang menolak GST pula pada kadar 61%. Ini
persepsi rakyat berhubung pelaksanaan cukai ini," katanya. – 24
Disember, 2013. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment