Imam Khomeini perjuang menumbangkan regim Syah Iran, kata Ibrahim Ali. Gambar fail.Datuk
Ibrahim Ali berkata bukti yang dikemukakan Kementerian Dalam Negeri
(KDN) tidak mencukupi bagi membuktikan Timbalan Presiden PAS Mohamad
Sabu menganut fahaman Syiah kerana beliau sendiri pernah bertemu dengan
pemimpin besar Revolusi Islam Iran Ayatollah Ruhullah Musawi al
Khomeini.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu berkata,
dakwaan pihak tertentu beliau menganut Syiah adalah satu jenaka besar
kerana pertemuan sahaja tidak boleh dijadikan seseorang cenderung
mengikuti fahaman tertentu.
“Menyanjung tinggi Revolusi Islam Iran tiada kena mengena dengan
kefahaman Syiah. Itu adalah perjuangan politik rakyat Iran menentang
bekas pemerintah zalim ketika itu, Mohammad Shah Reza Pahlavi,” katanya
dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider
“Jika isu bertemu dengan Khomeini, saya dikatakan Syiah, ini satu
jenaka paling besar kerana pertemuan kita dengan sesiapa tidak harus
menjadikan kita setuju atau mengikut fahaman mereka. Isu Mat Sabu
dikaitkan dengan Syiah, saya tak tahu. Itu beliau kena jawab dan tiada
kena mengena pertemuan saya bersama Khomeini."
KDN pada Khamis mendedahkan 10 bukti penglibatan Mohamad Sabu atau juga
dikenali sebagai Mat Sabu dalam kegiatan Syiah yang kebanyakannya
melibatkan perjuangan Imam Khomeini.
Sejurus selepas pendedahan KDN, gambar Ibrahim bersama Khomeini tersebar di laman sosial Facebook dan Twitter.
Antara yang didedahkan KDN adalah Mohamad pernah menggesa umat Islam
mencontohi kepimpinan Islam berdasarkan cara Imam Khomeini melalui
tulisan di Harakah pada Julai 2008.
Ibrahim berkata KDN hanya boleh membuat dakwaan ke atas Mohamad
sekiranya mempunyai bukti yang lebih kukuh berbanding pendedahan yang
dilakukan kementerian itu sebelum ini.
“Jika bertemu Khomeini seperti saya sekali pun, saya tidak akan
mendakwa Mat Sabu pengikut Syiah tetapi jika KDN ada lebih banyak bukti,
itu saya tak campur. KDN bukan sahaja perlu menunjukkan bukti tetapi
adakah pemimpin itu pernah menyertai latihan atau pengkaderan anjuran
kumpulan Syiah.
“Mantan Perdana Menteri Tun Abdul Razak pernah bertemu dengan Mao Tze
Tung dan merintis hubungan diplomasi dengan China. Saya tidak fikir Tun
Razak menyokong ideologi komunis. Tun Dr Mahathir Mohamad banyak kali
mengadakan pertemuan bersama Friedel Castro, tidak bererti beliau juga
berfahaman sosialis,” katanya.
Ibrahim berkata, beliau sangat berbangga apabila pertemuannya bersama
Imam Khomeini didedahkan semula di media sosial kerana menurutnya 35
tahun dahulu banyak pihak yang menafikan pertemuan itu.
Gambar yang menjadi kontroversi.Katanya,
peristiwa itu sukar dilupakannya kerana Khomeini sendiri tidak suka
bergambar pada ketika itu kerana berada dalam keadaan revolusi.
“Saya teruja apabila didedahkan semula dengan Imam Khomeini kerana
dahulu apabila saya tunjuk gambar mereka mendakwa itu gambar tipu.
Sesetengah pihak berasa tidak senang hati saya dapat bergambar dengan
Imam Khomeini.
“Gambar itu diambil pada tahun 1978, lebih kurang 35 tahun lalu. Saya
fikir saya satu-satunya rakyat Malaysia yang dapat bertemu Khomeini
sebelum revolusi,” katanya yang menyatakan pertemuan bersama Khomeini
adalah secara kebetulan ketika sedang berbulan madu selepas baru
berkahwin.
Menceritakan sejarahnya bertemu Imam Khomeini, Ibrahim berkata beliau
ketika itu dalam perjalanan menjelajah ke Amerika, London dan kemudian
ke Paris sebelum menuju ke Mekah untuk menunaikan umrah.
Katanya, kisah wawancara bersama pemimpin revolusi Iran itu dimuatkan
dalam bukunya bertajuk “Wawancara bersama Ayatollah Khomeini” yang
diterbitkan pada 1979 dan 35,000 naskhah habis dijual.
“Ketika isu revolusi Iran sedang hangat diperkatakan. Saya bertemu
Khomeini untuk menemubualnya. Ketika berjumpa saya solat Zohor, Asar,
Maghrib dan Isyak berjemaah di satu tempat bernama Chateu Melu, satu jam
setengah perjalanan dari Paris.
“Beliau menceritakan tentang kezaliman Mohammad Reza yang dikenali juga
sebagai Shah Iran. Bagaimana pemimpin itu membolot kekayaan dan menjadi
tali barut Amerika. Ini yang beliau ceritakan. Langsung tidak bercerita
tentang fahaman Syiah,” katanya.
Ibrahim berkata Imam Khomeini tidak bertutur bahasa Inggeris dan
perbualannya bersama pemimpin itu menggunakan khidmat penterjemah.
Katanya, Imam Khomeini hanya bertutur dalam bahasa Perancis dan Parsi
serta turut menggambarkan pemimpin itu sebagai orang yang cukup lembut
dan bersuara halus.
“Saya tidak lihat beliau sebagai pejuang politik. Beliau hanya
menentang Mohammad Reza yang zalim terhadap rakyat. Sebab itu apabila
revolusi Iran berjaya, Khomeini tidak jadi presiden tetapi pulang ke Qom
dan meneruskan dakwahnya,” kata beliau yang menyifatkan pertemuan
bersama Khomeini adalah satu perjalanan hidup bagi mengenali perjuangan
pemimpin hebat dunia.
Bekas ahli parlimen Pasir Mas itu berkata, Khomeini bukanlah
satu-satunya pemimpin dunia yang ditemuinya tetapi beberapa pemimpin
hebat lain turut ditemui seperti Castro, Al-Gore dan Mohd Kutub.
“Saya pernah bertemu dengan Mohd Kutub, adik kepada Syed Kutub,
pemimpin Ikhwanul Muslimin dari Mesir ketika berada di Mekah. Saya
tinggal bersamanya selama tiga bulan sementara menunggu bulan haji,"
katanya.
Kedua-dua Ibrahim dan Mohamad merupakan bekas mahasiswa UiTM. – 14 Disember, 2013. The Malaysian Insider
assamualaikum, kes mat sabu orang syiah ni merupakan satu helah dari bn nak tutup kes barang naik, minyak naik, letrik naik. sekarang ni kat mana2 org cakap ttg mat sabu, bukan lg pasal barang naik. akhbar pun tak cerita dah pasal brg naik, pemimpin pr pun sama, cuma kelihatan mazlan aliman saja sibuk dgn banjir di phg. peminpin pr lain......
ReplyDelete