Sunday, December 8, 2013

Kelantan salur RM50,000 bantu mangsa banjir Pahang

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kelantan hari ini mengumumkan bantuan sebanyak RM50,000 bagi membantu mangsa banjir yang melanda Pahang khususnya di kawasan Kuantan dan Kemaman.

Pengumuman itu dibuat Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sumbangan ini adalah sebagai tanda kebersamaan dan rasa simpati kerajaan negeri terhadap mangsa banjir di negeri itu yang disifatkan paling buruk abad ini.

"Sekalipun dipisahkan oleh sempadan negeri yang berbeza, namun kebersamaan sebagai rakyat Malaysia di bawah satu bumbung Pantai Timur tetap menggamit rasa simpati daripada kami di Kelantan.

"Justeru, sebagai tanda kebersamaan dan simpati dari pihak kerajaan negeri Kelantan Darul Naim, saya dengan ini mengisytiharkan peruntukan sebanyak RM50 ribu untuk membiayai misi bantuan kepada mangsa banjir di kedua-dua lokasi ini termasuklah bantuan pasca banjir," katanya.

Dalam pada itu, bantuan dari kerajaan Kelantan itu akan disampaikan terus kepada mangsa banjir melalui sukarelawan yang akan dihantar mulai esok 8 Disember 2013.

Rombongan sukarelawan ini akan bergerak melalui badan sukarela Jabatan Amal dan juga agensi-agensi kerajaan negeri.

"Jumlah ini merupakan permulaan dan kerajaan Kelantan tidak menolak kemungkinan menambahkan nilai peruntukan jika situasi memerlukan.
"Harapan saya agar misi bantuan yang akan dihantar secara rasmi oleh kerajaan negeri ini sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir di kedua-dua lokasi ini," katanya

No comments:

Post a Comment