Kadir Jasin yang sering meluahkan pandangan melalui blog peribadinya. Gambar fail.Penganalisis
berpendapat kenyataan bekas wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin tidak
boleh dipandang remeh dan perlu mendapat perhatian pemimpin kerajaan
kerana ia menggambarkan kekecewaan seorang penyokong Umno.
Ketua Eksekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) Wan
Saiful Wan Jan berkata meskipun cadangan Kadir lebih dilihat sebagai
sindiran namun perkara itu tidak boleh dibiarkan kerana ia memberi kesan
kepada kepimpinan kerajaan dan Umno terutamanya.
“Pandangannya berbentuk sinis tetapi perlu diberikan perhatian serius.
Amat penting bagi pemimpin kerajaan memahaminya secara serius kerana ia
melihatkan penyokong Umno sudah mula mengeluarkan pandangan yang
melambangkan kekecewaan.
“Jangan dibiarkan orang yang menyokong kerajaan ini semakin kecewa
dengan apa yang berlaku.” katanya ketika dihubungi The Malaysian
Insider.
Kadir pada Ahad lalu menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
mengkaji semula peranan menteri Kabinet selain melantik isteri Datin
Seri Rosmah Mansor sebagai Menteri Tugas Khas.
Katanya melalui pelantikan itu, tiada pihak boleh membantah campur
tangan Rosmah atau menuduh Najib dan anggota Kabinet menyalahgunakan
kuasa dengan membenarkan penggunaan kemudahan kerajaan.
“Saya dah berbuih mulut mencadangkan agar Rosmah masuk politik dan
dilantik menjadi menteri malah ke jawatan Perdana Menteri jika mendapat
kepercayaan rakyat jelata,” katanya yang menyatakan usaha itu boleh
dibuat melalui pelantikan Rosmah sebagai senator.
Wan Saiful berkata tidak mudah bagi melantik Rosmah sebagai menteri dan
menyifatkan pendedahan Najib semasa Perhimpunan Agung Umno 2013 (PAU
2013) pada Sabtu tidak akan meredakan kemarahan rakyat terhadap isteri
Perdana Menteri itu.
“Tidak semudah itu kerana Rosmah tidak mempunyai jawatan dalam parti
dan kerja yang dilakukannya tidak terlalu melibatkan isu politik. Ia
sindiran dan tidak serius. Bagaimana bagus kerja yang dibuat oleh
Rosmah, kritikan masyarakat juga perlu diambil kira,” katanya.
Beliau berkata penglibatan Rosmah dalam gerak kerja kerajaan perlu
didefinisikan dengan betul dan didatangkan secara berstrategi agar tidak
bertindih dengan peranan kementerian.
“Saya lihat kesilapan strategi perhubungan awam Najib. Ia boleh disebut
kerana Presiden Amerika Syarikat Barack Obama sendiri selalu memuji
isterinya. Itu perkara biasa tetapi di Malaysia suasananya agak tegang.
“Bila Najib berkata demikian, ia akan menambahkan kemarahan orang. Ia
tidak membantu langsung. Ini hanya masalah strategi komunikasi
masyarakat. Ini penglibatan yang baik tetapi tidak distrategikan dengan
betul sehingga menjadi alat untuk menyerang kerajaan dan Umno sendiri,”
katanya.
Najib semasa ucapan penangguhan PAU 2013 menyebut dua peristiwa jasa Rosmah kepada negara.
Katanya, bantuan pertama adalah menolong membebaskan seorang pelajar
Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Mesir kerana disyaki pengintip dan
kedua menggunakan hubungan baik dengan keluarga diraja Arab Saudi
membenarkan pelajar Malaysia yang lari daripada pemberontakan Mesir
untuk masuk ke negara itu tanpa visa.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara Prof
Madya Dr Shaharuddin Badaruddin menyifatkan cadangan Kadir bagi
melantik Rosmah akan lebih menggugat kedudukan Najib selain tiada
keperluan melaksanakannya.
“Itu kenyataan sinis daripada seorang bekas wartawan. Sudah tentulah
ada yang ingin disampaikan sama ada mengkritik secara langsung atau
cadangan serius.
“Sekiranya perkara itu benar-benar berlaku, akan lebih menyukarkan
kedudukan Najib. Bagi saya cadangan itu tidak praktikal. Tiada keperluan
walau sehebat manapun Rosmah,” katanya.
Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia Dr Jayum Jawan pula
berpendapat Najib tidak seharusnya menghebahkan sumbangan isterinya itu
kepada khalayak ramai kerana perkara itu lebih bersifat peribadi.
Katanya, Rosmah bukanlah mewakili mana-mana kementerian tetapi sebagai
pemudah cara kepada suaminya yang menjadi pemimpin nombor satu negara.
“Itu cerita peribadi yang diceritakan Najib dalam PAU 2013. Rosmah
tidak mewakili mana-mana kementerian tetapi sebagai wakil kepada
suaminya.
“Ini bukan saranan yang ikhlas tetapi cuba memperli. Cadangan itu tidak
masuk akal. Ada benda lain yang ingin dikritik dan beliau bermain
dengan kata-kata,” katanya yang melihat Najib juga berhak mendedahkan
sumbangan isterinya kepada negara.
Kadir ketika diminta mengulas dalam sebuah laman portal menarik balik
tulisannya atas arahan kerajaan berkata, cadangan yang dikemukakannya
atas hak sebagai wartawan dan rakyat bebas menyuarakan apa sahaja
asalkan tidak melanggar undang-undang. – 11 Disember, 2013.TMI
No comments:
Post a Comment