22 Dis 2013
Balik Pulau: Seorang pemandu lori ditahan polis bagi membantu
siasatan berkaitan kehilangan 10 kotak mikrocip bernilai kira-kira
RM800,000 dalam sebuah lori yang dicuri di sebuah kilang di Bayan Lepas
di sini, kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam apabila lori satu tan itu
dipandu lelaki terbabit yang berusia lingkungan 40-an dari Ipoh, Perak
ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) sebelum singgah di
sebuah kilang bagi mengambil beberapa dokumen.
Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya Deputi Superintendan Lai Fah Hin berkata, ketika lelaki itu meninggalkan lorinya untuk mengambil dokumen tanpa disedari lori terbabit hilang dipercayai dicuri.
Menurutnya, berdasarkan maklumat lori berkenaan membawa 22 kotak mikrocip dan satu laporan polis dibuat bagi tindakan lanjut.
"Hasil siasatan yang dilakukan, polis terpaksa menahan pemandu lori berkenaan untuk membantu siasatan.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau sebatan," katanya.
Lai berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian
itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di
talian 04-8662222 atau mana-mana balai polis berdekatan.
No comments:
Post a Comment