Pemuda Umno bantah kenyataan tidak sensitif menteri berhubung kenaikan tol
Pemuda
Umno hari ini mengkritik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri
Abdul Wahid Omar atas saranannya kepada pengguna lebuh raya menggunakan
jalan alternatif sekiranya tidak bersetuju dengan kenaikan tol.
“Kami tidak bersetuju dengan kenyatannya. Beliau perlu lebih berhati-hati dengan apa yang dikatakan.
Kenyataan itu memperlihatkan rasa tidak sensitif terhadap keperluan
rakyat,” kata Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun (gambar) dalam
satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
“Terpulang kepada rakyat untuk memilih dan jangan mengajar mereka,” katanya.
Terdahulu, Abdul Wahid berkata pengguna jalan raya yang tidak bersetuju
dengan kenaikan tol boleh menggunakan jalan alternatif biarpun syarikat
konsesi akan menyelaras kadar kenaikan mengikut jumlah trafik.
“Kami menyediakan jalan alternatif kepada mereka yang sanggup
membayarnya. Kepada yang berasa kadar tersebut terlalu tinggi, mereka
ada pilihan untuk tidak melaluinya,” katanya.
Khairul berkata Pemuda Umno mempunyai beberapa cadangan yang dapat diteliti oleh Putrajaya dan syarikat konsesi.
Salah satu cadangannya adalah syarikat konsesi mengurangkan tol melalui Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR).
“Kami tahu terdapat klausa dalam perjanjian membenarkan kerajaan
mengurangkan harga. Apa yang kami tahu, hampir semua konsesi mendapat
untung besar,” katanya.
Media melaporkan kadar tol akan dinaikkan sebanyak 30 sen ke RM1.
Khairul berkata peningkatan harga hanya dapat dipersetujui jika kajian
mendalam dilakukan berhubung peningkatan trafik dan ramalan keuntungan
sesebuah lebuhraya.
“Lebuh raya seperti Lebuh Raya Baru Lembah Klang dan Lebuh Raya Damansara Puchong, tiada masalah untuk menjana keuntungan.
“Mengapa syarikat konsesi tidak menunjukkan tanggungjawab mereka dan
mengurangkan harga sebagai sebahagian daripada CSR? Ia tidak terhad
kepada sumbangan dan acara tahunan. Ini juga boleh dipraktikkan,”
katanya. – 16 Disember, 2013.
No comments:
Post a Comment