OLEH LEE SHI-IAN December 22, 2013
Tengku
Razaleigh Hamzah menggesa Perkasa memikirkan mengapa ada sekelompak
orang Melayu yang tidak memahami perjuangan mereka. – Gambar The
Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 22 Disember, 2013.
Perkasa mesti memikirkan mengapa perjuangan mereka turut ditolak
termasuk dari kaum Melayu, kata veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah
semasa memberikan ucapan perasmian perhimpunan kumpulan itu di Kuala
Lumpur hari ini.
Menurut bekas menteri kewangan yang dijemput sebagai tetamu kehormat
hari ini, Perkasa dilihat sebagai pemecah perpaduan kaum yang selama ini
menjadi tunjang kestabilan Malaysia walaupun mempunyai niat baik.
“Perkasa dianggap ultra, radikal, rasis dan tidak bertanggungjawab oleh
setengah masyarakat bukan-melayu dan lebih mendukacitakan diremehkan,
atau diperlekehkan oleh masyarakat Melayu yang seharusnya merupakan
masyarakat yang dibela oleh Perkasa.
“Lebih parah, Perkasa dilihat sebagai pemecah perpaduan kaum yang
selama ini menjadi tunjang kestabilan Malaysia,” kata Razaleigh semasa
merasmikan persidangan agung Perkasa ke-4 di Pusat Islam, Kuala Lumpur,
hari ini.
Menurut Razaleigh yang mesra dengan panggilan Ku Li, walaupun
sesetangah pihak memandang Perkasa dengan negatif, masih terdapat yang
meletakkan pertubuhan tersebut di kedudukan tinggi.
“Inilah persepsi yang cukup negatif dan mudah-mudahan ianya hanya dari
perspektif golongan yang ekstrim, berkepentingan atau bias (berat
sebelah).”
Razaleigh turut menasihatkan anggota-anggota Perkasa agar menjaga
disiplin dan melihat sesuatu perkara dengan lebih mendalam dan tidak
bertindak mengikut emosi dan sentimen agar pertubuhan itu dihormati. –
22 Disember, 2013. TMI
No comments:
Post a Comment