Datuk
A. Kadir Jasin berpendapat bahawa Perdana Menteri harus melantik
isterinya Datin Seri Rosmah Mansor sebagai menteri supaya tidak dituduh
menyalahgunakan kuasa. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari.Bekas
Ketua Pengarang Kumpulan News Straits Times Press (NSTP), Datuk A.
Kadir Jasin hari ini menggesa Datuk Seri Najib Razak mengkaji semula
peranan menteri-menteri Kabinet selain melantik Datin Seri Rosmah Mansor
sebagai menteri.
Katanya, melalui pelantikan itu, tiada pihak yang boleh membantah
campur tangan Rosmah atau menuduh Najib dan anggota Kabinet
menyalahgunakan kuasa dengan membenarkan penggunaan kemudahan kerajaan.
“Saya dah berbuih mulut mencadangkan agar Rosmah masuk politik dan
dilantik menjadi menteri. Malah ke jawatan Perdana Menteri jika mendapat
kepercayaan rakyat jelata.
“Walaupun pilihan raya umum telah berlalu, Najib dan penyokong Rosmah
masih boleh melakukannya dengan melantik beliau sebagai senator dan
seterusnya menteri. Jawatan yang sesuai bagi beliau ialah Menteri
Tugas-Tugas Khas,” katanya dalam tulisan di blognya bertajuk “PAU 2013:
Antara Cinta dan Jasa”.
Najib semasa ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno 2013 semalam menyebut dua peristiwa jasa Rosmah kepada negara.
Katanya bantuan pertama adalah menolong membebaskan seorang pelajar
Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Mesir kerana disyaki pengintip dan
kedua menggunakan hubungan baik dengan keluarga diraja Arab Saudi
membenarkan pelajar Malaysia yang lari daripada pemberontakan Mesir
untuk masuk ke negara tanpa visa.
Kadir berkata, berdasarkan sumbangan Rosmah tersebut adalah lebih baik
Najib menimbang semula kedudukan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan
Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Begitu juga kedudukan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim kerana Rosmah juga terlibat di sana
sini dalam tugas yang sepatutnya dilaksanakan oleh menteri berkenaan.
“Dengan cara ini kita boleh menggugurkan menteri yang berprestasi
rendah sekaligus menjimatkan perbelanjaan negara dengan mengurangkan
bilangan kementerian,” katanya.
Kadir turut menolak hujah perwakilan Wilayah Persekutuan semasa
perhimpunan Umno tempoh hari yang mendakwa semua lelaki tidak sayangkan
isteri kecuali Najib.
Katanya, media melaporkan Affandi berkata isteri Perdana Menteri
seharusnya dibenarkan menggunakan jet eksekutif kerajaan demi memberi
ketenangan kepada suaminya.
“Saya sangat berkecil hati dengan tuduhan ini. Saya bantah
sekeras-kerasnya tuduhan itu. Tidak mengapalah kalau Affandi hendak
pertahankan Najib dan Rosmah. Itulah pun tugas pembahas PAU 2013.
“Tetapi kalau benar dia mengatakan lelaki lain tidak sayang isteri,
saya rasa itu satu penghinaan yang sangat dahsyat. Bayangkan tekanan
emosi Najib jika sesuatu yang buruk berlaku kepada isterinya. Beliau
sayangkan isterinya,” katanya.
Affandi dalam ucapannya dalam Perhimpunan Agung Umno berkata, jika
Rosmah berada dalam jet eksekutif, Najib tidak perlu bimbang
keselamatannya dan menambah orang bodoh pun tahu penerbangan dengan jet
eksekutif lebih mahal daripada terbang dengan jet komersial tetapi ia
perlu dilihat daripada aspek keselamatan.
“Bolehkah anda bayangkan tekanan emosi yang akan Perdana Menteri
tanggung sekiranya sesuatu buruk berlaku kepada isterinya ketika terbang
dengan pesawat komersial?” kata Affandi.
Rosmah dikritik hebat oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bulan lalu
kerana menggunakan jet eksekutif milik kerajaan untuk lawatan
peribadinya ke Timur Tengah. – 8 Disember, 2013. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment