- Jan 14, 2014
- HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR:
Meluangkan masa beriadah dan bersukan sekurang-kurangnya 30 minit tiga
kali seminggu menjadi antara kaedah terbaik yang boleh diamalkan guru
bagi mengurangkan tekanan kerja.
Aktiviti seumpama itu juga dapat memastikan mereka sentiasa kekal
cergas, cerdas dan sihat, kata Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan
Ibu Bapa dan Guru Nasional Prof Madya Dr Mohd Ali Hassan.
Beliau berkata melakukan pemeriksaan kesihatan dan pergigian secara
berkala mampu membantu guru mengoptimumkan penjagaan kesihatan, apatah
lagi mereka kini berdepan pelbagai cabaran dunia pendidikan yang
menuntut mereka untuk terus bermotivasi dan meningkatkan produktiviti.
"Sekiranya guru 'cuai' menjaga kesihatan, ini menyebabkan mereka
tidak bermaya, tidak bertenaga atau tidak sihat...Apabila kurang sihat
mereka ambil cuti sakit dan ini menjurus kepada proses pembelajaran
tergendala," katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurutnya, apabila seorang guru memberi contoh penjagaan kesihatan
yang baik, amalan mereka itu secara tidak langsung boleh dicontohi
pelajar.
Berkongsi pandangan sama, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan
Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan yakin guru sememangnya memikirkan soal
kesihatan, namun risau dan prihatin terhadap prestasi murid menyebabkan
ada yang terlepas pandang kerana bertungkus-lumus menyiapkan segala
tugasan.
Peka akan pentingnya penjagaan kesihatan dalam kalangan guru
mendorong Koperasi Yayasan Guru Malaysia Bhd (KYGMB) menawarkan kad
perubatan komprehensif dikenali sebagai MediSihat bagi memudahkan
golongan itu mendapatkan rawatan.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah KYGMB Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
berkata produk yang akan diperkenal dalam masa terdekat itu menawarkan
polisi insurans perubatan bagi penghospitalan dan pembedahan sehingga
RM450,000, selain perlindungan kemalangan peribadi sehingga RM150,000.
Untuk tujuan itu, pihaknya baru-baru ini menandatangani memorandum
persefahaman dengan Pathlab Health Management Sdn Bhd, sebuah makmal
patalogi dan klinikal.
"Kesihatan adalah aspek penting yang harus diberi perhatian oleh
guru, dan kami berharap dengan adanya kemudahan seperti ini mereka
sentiasa menjaga kesihatan mereka selain mendapat perlindungan kos
rawatan sewajarnya," katanya.
Keunikan kad MediSihat ini termasuk faedah menjalani pemeriksaan darah komprehensif di hampir 50 cawangan Pathlab.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran itu berkata pihak koperasi bersedia
memberi pinjaman sehingga 10 tahun kepada ahlinya untuk membiayai
premium insurans secara keseluruhan, manakala bayaran balik kepada
koperasi dilaksanakan melalui potongan gaji.
Justeru, guru-guru digalakkan berdaftar sebagai anggota koperasi bagi
memudahkan mereka menikmati keistimewaan kad itu, katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment