Saturday, January 25, 2014

Kalimah Allah: Kecewa dengan Umno, Perkasa gesa Majlis Raja-Raja campur tangan

January 25, 2014
Perkasa ingin isu kalimah Allah mendapat perhatian sewajarnya daripada Umno. - Gambar fail. 
Perkasa ingin isu kalimah Allah mendapat perhatian sewajarnya daripada Umno. - Gambar fail.

Perkasa kecewa dengan pendirian Umno kerana tidak tegas dalam menghalang kalimah Allah "daripada dihina dan diperolok-olokkan" gereja Katolik dan meminta Majlis Raja-Raja Melayu memastikan kalimah Arab itu hanya eksklusif kepada umat Islam di negara ini.

Menurut Pengerusi Hal Ehwal Islam Perkasa Shamsuddin Moner, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak seharusnya berani membuat penegasan semua gereja dan paderi Katolik di negara ini mesti akur dengan keputusan Mahkamah Rayuan akhbar mingguan Herald tidak dibenarkan menggunakan kalimah tersebut dalam penerbitan edisi bahasa Melayu.

"Tiada satu pun kecaman dibuat oleh pihak Majlis Tertinggi (MT) Umno yang bermesyurat semalam dibuat terhadap pihak-pihak yang terus mempertikaikan keputusan Mahkamah Rayuan. Begitu juga terhadap mereka yang pertikaikan titah Yang Dipertuan Agong bahawa kalimah Allah adalah eksklusif untuk umat Islam," kata Shamsuddin dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider lewat malam tadi merujuk kepada MT Umno.

 "Apakah MT Umno juga tidak bersetuju dengan titah Tuanku Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu lain yang pernah bertitah sedemikian?" soalnya.
Menurut Shamsuddin, Presiden Umno tidak seharusnya mengambil mudah membuat ketetapan mengenai isu kalimah Allah ini dalam Mesyuarat MT Umno.

"Kami mahu isu ini diselesaikan oleh Majlis Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Fasal 38 (2), (b) berkenaan fungsi Majlis Raja-Raja: 'Majlis Raja-Raja hendaklah menjalankan fungsinya bagi mempersetujui atau mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluaskan ke Persekutuan secara menyeluruh'," katanya.
Menurut Shamsuddin, Majlis Raja-Raja boleh menyekat dan menghalang apa-apa upacara agama seperti yang dicabar oleh Paderi Lawrence Andrew untuk menggunakan kalimah Allah di seluruh gereja di Selangor dalam setiap upacara keagamaan Roman Katolik.
"YAB Perdana Menteri tak perlu merujuk kepada YB Idris Jala semata-mata untuk ambik hati dan jaga politik di Sabah dan Sarawak," katanya.

Semalam Najib mengumumkan MT Umno juga menghormati resolusi 10 perkara yang sudah dipersetujui Putrajaya berhubung penggunaan kalimah Allah bagi Bible berbahasa Melayu di Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun kata perdana menteri, resolusi itu tertakluk kepada undang-undang persekutuan dan undang-undang negeri.
Menurut Perkasa, resolusi 10 perkara yang dinyatakan perdana menteri tiada kaitan dengan kebenaran menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan Bible dalam bahasa Melayu.

“Surat berkenaan bukannya membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible, tetapi lebih bersifat umum yang membenarkan penerbitan Bible dalam bahasa Melayu sahaja.
“Ini bermakna soal membenarkan Bible dalam bahasa Melayu dan juga penggunaan kalimah Allah bagi menterjemah God dalam The Herald serta Bible bahasa Melayu adalah dua perkara yang amat berbeza,” katanya.

Isu penggunaan kalimah Allah berbangkit apabila Andrew pada 27 Disember tahun lalu mengeluarkan kenyataan gereja Katolik di Selangor akan tetap menggunakan kalimah itu dalam ceramah mereka dalam bahasa Melayu walaupun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menghantar peringatan larangan menggunakan kalimah itu oleh bukan Muslim.

Kenyataan beliau dianggap mencabar perintah yang dikeluarkan Sultan Selangor bahawa penganut bukan agama Islam dilarang menggunakan kalimah Allah.
Keadaan semakin teruk apabila Jais menyerbu premis Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) dua minggu lalu.

Jais merampas lebih 300 Bible dalam bahasa Melayu dan Iban dalam serbuan tersebut.
Dua kakitangan BSM juga turut ditahan, namun dibebaskan pada petang yang sama.
Kristian membentuk 9% daripada 29 juta rakyat Malaysia. Dua pertiga penganut Kristian di Malaysia adalah Bumiputera yang kebanyakannya berada di Sabah dan Sarawak. – 25 Januari, 2014.
The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment