- Jan 12, 2014
- HARAKAHDAILY
ALOR SETAR:
Sekumpulan pekerja kilang papan di Pokok Sena dekat sini cuba merusuh
dan mencetuskan kekecohan malam tadi setelah berang dengan tindakan
majikan yang tidak mengendahkan seorang rakan mereka yang dipercayai
mengalami sesak nafas.
Kejadian kira-kira 9 malam itu dipercayai melibatkan kira-kira 100
hingga 200 orang pekerja kilang terbabit yang berhimpun di hadapan pintu
pagar rumah majikan mereka bagi meminta majikan supaya mengambil
tindakan segera bagi menyelamatkan rakan mereka yang sesak nafas di
asrama pekerja.
Majikan tersebut yang bimbang berlakunya sesuatu setelah melihat para
pekerja asing itu berkumpul beramai-ramai, enggan keluar untuk bertemu
dengan kumpulan pekerja itu.
Pekerja-pekerja warga Nepal itu kemudian naik berang setelah
mendapati rakan mereka yang sesak nafas itu telah mati ekoran kelewatan
majikan mengambil tindakan segera.
Bagaimanapun polis yang tiba kira-kira 20 minit kemudian berjaya
meleraikan kumpulan pekerja kilang terbabit dan menghubungi hospital
untuk engesahkan kematian salah seorang rakan mereka itu.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kota Setar DSP Mat
Akhir Jaafar yang ditemui di tempat kejadian berkata tiada sebarang
kejadian yang tidak diingini berlaku kerana majikan bertindak cepat
menghubungi pihak polis setelah melihat keadaan makin tidak terkawal.
Katanya ekoran kejadian itu, pihak polis menahan tiga pekerja lelaki
warga Nepal yang dipercayai mengetuai himpunan itu dan cuba mencetuskan
huru hara.
"Hasil maklumat awal kumpulan pekerja terbabit bertindak demikian
kerana sebelum ini sudah tiga orang rakan mereka mati secara mengejut di
asrama terbabit namun majikan mereka tidak menyiasat puncanya," katanya
ketika ditemui di tempat kejadian lewat malam tadi.
Siasatan lanjut akan dijalankan dengan menyoal siasat ketiga-tiga mereka yang ditahan selain mengenal pasti punca kejadian.
"Punca kematian kita hanya bergantung kepada laporan doktor. Sebab
apa yang kita siasat setakat ni, dia orang ni suka minum. Kadang-kadang
minum minuman tak berjenama. Kita tak pasti minuman arak apa yang
diminum menyebabkan mereka sakit," katanya.
Mayat pekerja yang mati dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk bedah siasat. - Bernama
No comments:
Post a Comment