Peguam
PKR, Latheefa Koya (gambar) mendesak Putrajaya agar menarik balik
laporan yang dihantar kepada kerajaan Jepun sehingga menyebabkan Ketua
Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dihalang masuk ke negara tersebut.
Anwar semalam dihalang pihak berkuasa imigresen Jepun daripada memasuki
negara tersebut atas alasan laporan terbaru yang melibatkan dirinya.
"Ia sangat pelik apabila Anwar dihalang masuk atas alasan hukuman
bermotifkan politik pada tahun 1999 sedangkan beliau memasuki Jepun
beberapa kali sebelum ini.
"Ini adalah satu siri serangan dan gangguan oleh kerajaan terhadap
Ketua Pembangkang yang kini masih berdepan kemungkinan satu lagi
pertuduhan yang sengaja direka," kata Latheefa, yang juga Pengarah Biro
Hak Asasi dan Undang-Undang PKR.
Beliau kemudian mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya
membetulkan keadaan ini dengan segera dan menarik balik laporan yang
kononnya dihantar mereka kepada kerajaan Jepun.
"Kami menyeru supaya perdana menteri memperbetulkan keadaan ini segera
dengan menarik balik laporan yang tidak berasas kepada kerajaan Jepun
dan memberi pelepasan perjalanan penuh kepada Anwar," katanya.
Anwar yang dikatakan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada
jam 6.45 pagi bukan sahaja gagal melepasi pemeriksaan imigresen malah
diarahkan pulang menaiki penerbangan pertama dari Tokyo.
Anwar yang hadir ke Jepun atas jemputan Pengerusi Yayasan Nippon, Tan
Sri Yohei Sasakawa terus mendesak penjelasan pihak berkuasa Jepun, lalu
alasan diberi adalah ia mungkin disebabkan laporan terbaru membabitkan
dirinya pada tahun 2013.
Bekas timbalan perdana menteri tersebut berdepan ulangan pendakwaan
pada 1999 apabila Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful
Bukhari Azlan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebas dan melepaskan Anwar daripada tuduhan “Liwat II” tersebut.
Anwar didakwa meliwat Mohd Saiful, 26, di sebuah unit Kondominium Desa
Damansara, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26
Jun 2008.
Bagaimanapun, pihak pendakwa mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan
terhadap pembebasan Anwar itu dan masih belum selesai sehingga kini.
Dalam perkembangan terbaru, Anwar sekali lagi gagal dalam cubaan untuk
mengenepikan peguam Umno, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai
pendakwaraya dalam kes liwat beliau apabila Mahkamah Rayuan hari ini
menolak penggunaan akuan bersumpah Datuk Mat Zain Ibrahim yang juga
seorang bekas pegawai tertinggi polis. – 20 Januari, 2014.
No comments:
Post a Comment