Menteri
Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) menafikan beliau
mempengaruhi bekas menteri Kabinet Datuk Zaid Ibrahim supaya bertanding
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang untuk
mengekalkan kuasanya sebagai menteri besar.
Spekulasi mengatakan Abdul Khalid mempengaruhi Zaid yang merupakan
bekas anggota PKR bagi menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil
alih jawatan menteri besar Selangor.
"Tidak," katanya ketika ditanya pemberita berhubung perkara itu.
Zaid yang juga bekas ahli PKR semalam berkata, tujuan beliau bertanding
sebagai calon bebas di DUN Kajang adalah untuk menyekat "Langkah
Kajang" Ketua Pembangkang dan mengekalkan Abdul Khalid sebagai menteri
besar negeri itu.
Abdul Khalid bagaimanapun berkata, kenyataan Zaid itu adalah kebebasan
politik demokrasi yang mana memperuntukkan kebebasan dalam memberikan
pandangan dan pendapat mana-mana individu.
"Inilah kita lihat bagaimana politik ini perkara yang memberi kebebasan
kepada mereka untuk memberikan pandangan dan juga penglibatan mereka.
"Saya baru tahu bahawa politik ini, kita tidak dapat tentukan tindakan
kumpulan atau seseorang dari segi untuk bersama dalam pergolakan
demokrasi dan politik Malaysia," katanya.
Zaid ketika pengumuman berkenaan berkata, dengan menewaskan Anwar dalam
PRK Kajang yang dijadualkan 23 Mac depan, masa depan Pakatan Rakyat
(PR) Selangor akan dapat diselamatkan.
"Kalau saya menang, Anwar kalah. Maka amanlah PR di Selangor," katanya.
"Khalid akan terus jadi menteri besar," katanya lagi.
Beliau berkata, rancangan Anwar bertanding di kerusi DUN berkenaan
adalah untuk menggantikan Abdul Khalid adalah tindakan politik liar dan
tidak wajar direstui.
"Jika Abdul Khalid dan kepimpinan beliau perlu disingkir biarlah ia
dilakukan melalui proses demokrasi yang sihat," kata Zaid kepada
pemberita semalam.
Tindakan Anwar itu jelasnya akan membawa perpecahan besar kepada PR.
"Jika Anwar menang di Kajang dan Abdul Khalid enggan berhenti secara
sukarela, maka akan timbul krisis politik dan pentadbiran yang buruk di
Selangor.
"Malah, jika Anwar menang di Kajang, belum tentu beliau akan diterima
menjadi menteri besar oleh Sultan Selangor," katanya, dan menambah rakan
komponen PR dari PAS juga belum tentu akan menyokong rancangan Anwar
menjadi menteri besar.
"Ia boleh selesai jika saya menang kerusi DUN Kajang," katanya. – 17 Februari, 2014.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment