Thursday, February 27, 2014

BERSIH sokong mejar Zaidi dalam kes dakwat

26 Feb 2014

 
Delegasi BERSIH - NGO bagi pilihan raya yang bebas dan adil - mengunjungi pegawai TUDM, Mejar Zaidi Ahmad semalam untuk menyatakan sokongan mereka kepadanya dalam menghadapi perbicaraan di Mahkamah Tentera.

Zaidi, 46, mengaku tidak bersalah terhadap tujuh tuduhan di antaranya memberi kenyataan media tentang pilihan raya umum ke-13 tanpa kebenaran Kemeterian Pertahanan serta menghantar khidmat pesanan ringkas berbaur politik dan hasutan.
 
Tuduhan itu termasuk bercakap kepada media tanpa kebenaran, melanggar perintah Majlis Angkatan Tentera Malaysia dengan membuat laporan polis dan menghantar mesej teks mengenai isu itu.
 
Delegasi enam orang itu mengunjungi Zaidi di rumahnya di Kepala Batas termasuk pengerusi BERSIH, Marina Chin; Penyelaras Kawasan Utara, Toh Kin Woon; Setiausaha Kehormat Aliran, Anil Netto; aktivis pelajar, Adam Adli dan Mustafa Basri dari Ikram.
 
Ketika dihubungi, Toh (kanan) berkata BERSIH menimbang untuk mengadakan kempen menyokong Zaidi, untuk menyeru rakyat bersama dengannya dan menggesa pihak tentera menarik balik tuduhan terhadapnya.
 
Toh berkata, kumpulan itu masih belum membincangkan butiran lanjut mengenai kempen itu tetapi menimbang untuk melancarkannya sebelum perbicaraan Zaidi yang akan bermula pada 8 April depan.
 
"Kami berharap pihak tentera tidak meneruskan tuduhan terhadapnya. Beliau hanya berkata dakwat kekal tidak kekal. Malah Suruhanjaya Pilihan Raya pun mengakuinya," kata Toh.

Menurutnya lagi, Zaidi tidak berkata apa-apa yang salah atau fitnah.

"Sebagai warga yang mengundi, beliau hanya menyuarakan pandangannya.

"Mengapa beliau perlu didakwa kerana bercakap benar?" kata Toh sambil menambah Zaidi hanya menyumbang kepada pilihan raya yang bebas dan adil di negara ini.

No comments:

Post a Comment