Tuesday, February 11, 2014

Cantik sungguh bahasa Presiden Perkasa

  February 10, 2014
Ibrahim berkata tindakan Mahfuz Omar menuduh Perkasa lalu mengaitkan kenyataan Zahid pada isu Terasa Kok tidak masuk akal. – Gambar fail. 
Ibrahim berkata tindakan Mahfuz Omar menuduh Perkasa lalu mengaitkan kenyataan Zahid pada isu Terasa Kok tidak masuk akal. – Gambar fail.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali mengatakan Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar seperti barua kerana menuduh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai ejen Perkasa.

Ibrahim menyifatkan Mahfuz yang juga merupakan ahli Parlimen Pokok Sena itu sebagai "budak jaga trafik atau lalu lintas kapal terbang" kerana tidak pernah memikirkan kesan dan akibat atas kenyataannya itu.
"Beliau cakap sememangnya seperti kenyataan orang yang tidak bersekolah. Patutlah kalah dalam jawatan naib presiden PAS," kata Ibrahim kepada The Malaysian Insider.

 Menurut Ibrahim, apa yang dibangkitkan oleh pemimpin PAS itu tidak ada kena mengena dengan Perkasa.
"Menuduh Perkasa lalu mengaitkan kenyataan Zahid pada isu Terasa Kok langsung tidak masuk akal. Sudah lah muka hodoh, bercakap pun turut hodoh," katanya dengan nada marah.
"Nasihat saya pada Mahfuz, lain kali kalau beliau ingin bercakap maka cuba bercakap sebagai orang Islam yang istiqamah, cerdik dan tidak emosi tanpa bersebab."

Terdahulu, dalam sidang medianya petang tadi, Mahfuz membuat gesaan agar Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan yang sepadan dengan kedudukannya sebagai menteri, dan tidak menjadi seperti ejen Perkasa.
"Saya minta menteri dalam negeri bercakap sebagai seorang menteri, bukan bercakap seperti ejen Perkasa yang memperjuang isu orang Melayu dan perkauman," kata Mahfuz.

Ia susulan daripada kenyataan Ahmad Zahid yang mengatakan tawaran untuk menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai bukan ancaman.
Khamis lalu, badan yang digelar Majlis NGO Islam, menyembelih dua ekor ayam dan menawarkan ganjaran RM500 kepada sesiapa yang berani menampar Kok sebagai tanda kemarahan terhadap pemimpin pembangkang itu yang dikatakan menghina kepimpinan Melayu dan Islam.
Fokus badan tersebut adalah Kok dan klip video Tahun Baru Cinanya, bertajuk 'Onederful Malaysia CNY 2014'.
Bagaimanapun selepas dihubungi The Malaysian Insider pada sebelah malam, ganjaran tersebut dinaikkan kepada RM1,200 kepada sesiapa yang berani menampar Kok. – 10 Februari, 2014.The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment