Gerakan
Media Marah (Geramm) menuntut parti politik negara ini membuka pintu
mereka kepada media tanpa mengira mana-mana agensi memandangkan Indeks
Kebebasan Akhbar Sedunia Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) menunjukkan
Malaysia di tangga ke-147 berbanding 180 negara.
Dalam satu kenyataan hari ini, Geramm menegaskan, parti politik sama
ada Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang daripada Pakatan Rakyat
(PR) tidak seharusnya mengamalkan diskriminasi terhadap mana-mana
organisasi media.
"Kedudukan itu paling buruk bagi negara ini dalam tempoh 12 tahun terakhir," kata Geramm dalam kenyataan tersebut.
Putrajaya bagaimanapun dalam kenyataan balasnya berkata, media di
negara ini – tidak kira media cetak atau atas talian – sebenarnya lebih
bebas daripada sebelumnya.
Menurutnya lagi, kebebasan media itu tergambar melalui laporan portal-portal berita dan blog-blog politik.
Malah, perubahan yang dilakukan dalam pelesenan media cetak turut dijadikan alasan penafiannya.
Kedudukan Malaysia itu bagaimanapun jelas Geramm adalah tercorot di
belakang Bangladesh (146), Myanmar (145) dan Kemboja (144) – sama sekali
tidak boleh diterima.
"Jika tiada kebebasan untuk akhbar, radio dan televisyen, maka ia
bermakna sikap double-standard yang boleh ditertawakan masyarakat dunia.
"Kebebasan 'double-standard' ini ibarat tindakan jenayah yang harus
dilakukan secara tertutup kerana malu pada orang ramai atau takut pada
tindakan awam."
Larangan PKR terhadap Kumpulan Utusan Malaysia dan TV3, termasuk
larangan terhadap portal seperti Malaysiakini, The Malaysian Insider dan
juga Free Malaysia Today juga jelas Geramm tidak harus berlaku.
"Geramm menuntut larangan ini dibatalkan kerana ia jelas bercanggah
dengan prinsip kebebasan akhbar yang harus dihormati semua pihak.
"Akses sama rata kepada semua pengamal media oleh parti politik, tidak
kira parti mana adalah salah satu daripada lapan tuntutan Geramm," kata
kenyataan itu lagi.
"Bagaimanapun dalam masa yang sama, Geramm juga menggesa kedua-dua
media tersebut menghormati etika kewartawanan dengan memberikan liputan
berimbang dan adil kepada semua."
Geramm turut menyelar larangan kerajaan terhadap stesen radio BFM yang
ingin menyiarkan temubualnya dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar
Ibrahim, calon PKR di pilihan raya kecil Kajang.
"Tindakan ini tidak masuk akal dan jelas sama sekali mencabul kebebasan
media yang seharusnya dibenar melaporkan semua pihak yang bertanding
tanpa rasa takut dan memihak.
"Tindakan ini menjelaskan sikap kerajaan yang hanya membuka ruang
kebebasan di internet tetapi menyekat kebebasan di radio. Satu sikap
yang janggal dan memalukan.
"Kerajaan harus berasa malu, ketika Indeks kebebasan Akhbar kita jatuh,
ketika itu juga kerajaan terus menapis kandungan media sesuka hati,"
katanya. – 14 Februari, 2014. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment