• Abu Bakar Ghani 
  •  Abu Bakar Ghani
KUALA TERENGGANU – Sikap gila kuasa dan putar belit Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa semakin jelas apabila beliau dilihat bercita-cita menjadi Menteri Besar Selangor dengan keputusannya bertanding pada PRK Dun Kajang, 23 Mac ini.

Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Umno Terengganu, Abu Bakar Ghani berkata, setelah gagal merealisasikan cita-cita menjadi perdana menteri apabila BN masih lagi mendahului jumlah kerusi pada PRU13 lalu, Anwar dilihat cuba mencapai cita-cita politiknya melalui jawatan Menteri Besar Selangor pula.

Demi kepentingan politik katanya, Anwar juga pernah beberapa kali berbohong kepada rakyat apabila memberitahu akan bersara daripada politik jika gagal pada PRU13 serta menggembar-gemburkan Kabinet bayangan yang dikatakan dibentuk pada 16 September 2008.

“Rakyat sudah melihat putar belit Anwar yang tidak berkesudahan antaranya dulu dia kata pilihan raya tidak adil tetapi kini Anwar dan PKR pula yang mahukan PRK diadakan tanpa sebab di Kajang.

“Beliau juga dilihat cuba merampas kuasa daripada Menteri Besar Selangor sekarang, Tan Sri Khalid Ibrahim yang mendapat sokongan daripada Pas, sultan dan rakyat Selangor,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Dengan sikap ditunjukkan seolah-olah mahu memperjuangkan politik peribadi kata Abu Bakar, tidak mustahil Anwar boleh kecundang di Dun Kajang, lebih-lebih lagi beliau adalah orang luar.

Dalam masa sama katanya, jika calon diletakkan BN di Kajang diterima dan disenangi pengundi, tidak mustahil calon BN boleh menang sekalipun PR menang besar dengan kelebihan majoriti 6,824 undi pada PRU13 lalu.

Sementara itu, Abu Bakar turut melihat Anwar bukanlah ketua pembangkang yang boleh dipuji apabila beliau tidak mampu mengekalkan kemenangan di dua negeri daripada lima negeri yang dimenangi PR pada PRU12 lepas.

“Anwar dilihat gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua dalam PR apabila dua negeri PR tumbang kepada BN iaitu Kedah dan Perak pada PRU13 lalu,” katanya.