Harakahdaily Feb 04, 2014
KUALA LUMPUR:
Para pemimpin Umno tidak wajar menyemarakkan sentimen perkauman dalam
isu klip video Tahun Baru Cina membabitkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa
Kok kerana rakaman berkonsep 'talk show' itu hanya membincangkan
isu-isu semasa dan tidak menyentuh sebarang perkara sensitif, tegas Ahli
Dewan Negeri (Adun) Kinrara, Ng Sze Han (gambar).Menurut Ng, konsep bual bicara yang dipaparkan Teresa dalam klip video itu amat popular di banyak negara maju dan bukannya satu keganjilan.
"Kenyataan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Mohd
Shafie Apdal serta ketua pemuda Umno Wilayah Persekutuan tentang video
klip Tahun Baru Cina itu bukan sahaja tidak berkenaan, malah
mengelirukan rakyat," ujarnya.
Ng menjelaskan, perkara-perkara yang menjadi topik perbualan dalam
klip video tersebut adalah fenomena sebenar yang berlaku di negara ini
seperti kadar jenayah yang meningkat, pemborosan dana awam, isu
pendidikan, kenaikan harga barang, kenaikan kadar tol dan sebagainya.
"Malangnya, terdapat pelbagai fitnah dan dakwaan yang tidak benar
telah dilakukan oleh pelbagai pihak untuk memburukan nama baik YB Teresa
Kok. Sesungguhnya, video klip tersebut tidak pernah menyentuh nama
sesiapa, cuma siapa makan cili dialah terasa pedasnya," jelas beliau.
Menurut Ng, sebagai seorang wakil rakyat, Teresa mempunyai
tanggungjawab dan berhak untuk membawa suara rakyat serta mengutarakan
pendapat mereka.
"Beliau memilih untuk menyampaikan infomasi yang jarang diliputi oleh
media arus perdana melalui video kilp, dan tindakan ini tidak
bercanggah dengan undang-undang," ujar Ng.Beliau menambah, sekiranya Umno dan BN benar-benar berhasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang sejahtera dan harmoni, kenyataan yang memesongkan fakta harus dihentikan kerana ia hanya akan memburukkan keadaan.
"Pemimpin BN harus memandang serius suara rakyat dan bukan mempermainkan sentimen perkauman untuk mendapatkan publisiti murah," ujarnya.
Beberapa pemimpin BN khususnya Umno menggesa tindakan diambil terhadap Teresa kerana didakwa memuat turun klip video yang "berunsur fitnah dan menghina pemimpin negara".
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam berkata, polis sedang meneliti klip video itu bagi menentukan sama ada ia berbaur fitnah.
No comments:
Post a Comment