Naib
Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar) berkata MCA
perlu berbincang dengan Datuk Seri Najib Razak mengenai keputusan parti
itu untuk menerima semula jawatan kerajaan di semua peringkat.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan bagaimanapun berkata, MCA
tidak perlu tergopoh-gopoh hendak mengisi jawatan dalam kerajaan.
"Dalam perkara itu, kita sesama Barisan Nasional (BN) tidak menjadi
masalah. Saya serahkan kepada MCA untuk menentukan dan membincangkannya
dengan perdana menteri.
Hishammuddin ditemui selepas melancarkan National Blue Ocean Strategy
Jabatan Latihan Khidmat Negara di Kem PLKN Seri Perkasa, Mantin.
Mesyuarat agung luar biasa MCA semalam meluluskan resolusi untuk
menerima semula jawatan kerajaan di semua peringkat, yang membuka laluan
bagi parti itu kembali ke kabinet.
Hishammuddin berkata beliau turut merasa lega untuk 'melepaskan'
portfolio Kementerian Pengangkutan yang dipegangnya sejak beberapa bulan
lepas.
"Sekurang-kurangnya dalam beberapa bulan saya memimpin apa juga
keputusan, kita telah pun meninstitusikan beberapa kaedah yang perlu
kita lihat.
"Seperti trajedi bas jatuh gaung di Genting Highlands, jalan
penyelesaian untuk kamera AES, jalan penyelesaian untuk memastikan
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 siap dan Jabatan
Pengangkutan Jalan dengan semangat barunya.
"Jadi, banyak telah kita lakukan di Kementerian Pengangkutan dan banyak
lagi yang perlu dilihat dari segi dasar udara dan maritim," katanya. –
Bernama, 24 Februari, 2014. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment