PKR
menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka
semula siasatan terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman
(gambar) berikutan hukuman penjara dan sebatan terhadap peniaga balak,
Michael Chia semalam.
Menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, kejayaan pendakwaan SPRM
terhadap Chia membuktikan SPRM berkemampuan mengumpul bukti yang baik
untuk memastikan pendakwaan berjaya.
"Hukuman bersalah ke atas Michael Chia itu menghidupkan kembali banyak pertanyaan mengenai siapa di belakangnya?
"Sebab itu, keputusan bersalah yang dijatuhkan kepada Michael Chia menguatkan spekulasi mengenai kes wang RM40 juta yang sebelum ini menjadi kontroversi melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman," kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut ahli Parlimen Pandan itu, fakta kes tersebut sebelum ini
melalui pelbagai bukti pemindahan wang, keterangan SPRM dan maklumat
daripada ICAC di Hong Kong yang menunjukkan memang ada pemindahan wang
berjumlah RM40 juta tetapi ia tidak disiasat sebagai rasuah kerana wang
itu dikatakan derma politik kepada Umno Sabah.
"Keputusan bersalah terhadap Michael Chia ini juga adalah satu tamparan
kepada Datuk Seri Nazri Aziz yang mempunyai hubungan dengan Michael
Chia terutama apabila anak beliau menggunakan kereta mewah milik Michael
Chia seperti yang saya dedahkan sebelum ini.
"Apatah lagi apabila Datuk Seri Nazri Aziz sendiri yang tampil di
Parlimen menjelaskan bahawa tidak ada unsur rasuah di dalam kes-kes
melibatkan Datuk Seri Musa Aman dan Michael Chia yang mengundang
kontroversi sebelum itu," kara Rafizi.
Rafizi sebelum ini pernah membuat laporan kepada SPRM terhadap Nazri
dan keluarganya dengan tuduhan Chia memberi anak menteri tersebut
kenderaan mewah bagi membebaskan dirinya daripada tuduhan rasuah.
Rafizi juga memaparkan tujuh video pengintipan sebagai bukti tambahan
dengan video yang menunjukkan keluarga Nedim yang merupakan anak Nazri
menggunakan kenderaan mewah Chia.
Video itu menunjukkan perjalanan Hummer dari kediaman kondominium mewah
di Damansara Heights itu, di mana Nedim dan keluarganya dikatakan
tinggal di rumah tersebut.
Rafizi juga menunjukkan dalam video tersebut kereta Audi hijau, yang
didakwa dipandu oleh Nedim, dan Toyota Vellfire hitam yang dipandu
isterinya.
Menurut Rafizi, kenderaan Hummer tersebut selalunya digunakan oleh
pemandu peribadi keluarga dan pengawal peribadi mereka dan digunakan
sebagai kenderaan “menyimpan barang”. – 27 Februari, 2014.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment