OLEH MD IZWAN February 14, 2014
Pertubuhan Prihatin Bekas
Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan) mendakwa tindakan mengheret
Mejar Zaidi Ahmad ke Mahkamah Tentera sebagai ugutan kepada pengundi
tentera.
Kumpulan NGO bekas anggota keselamatan itu menuduh pendakwaan ke atas
bekas Pegawai Pemerintah Skuadron 12 Pengkalan Udara Diraja Malaysia
(TUDM) tersebut bermotifkan politik demi menjaga pemerintah Barisan
Nasional (BN).
"Tindakan seperti ini seolah-olah ingin menggugut anggota tentera semasa pilihan raya akan datang.
"Kami melihat kepentingan negara mengatasi segala-galanya," kata
presidennya, Asri Buang dalam sidang media sempena perasmian mesyuarat
agung kali ke-2 Pahlawan hari ini.
Asri juga mendesak supaya pertuduhan ke atas Zaidi digugurkan supaya
imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak tercalar dengan kontroversi
tersebut.
"Dengan ini Pahlawan mencadangkan pertuduhan terhadap Mejar Zaidi
digugurkan serta-merta demi menjaga imej dan maruah ATM," katanya lagi.
Asri, yang juga bekas bekas Pegawai Waran 1 di Kor Gerak Khas, Rejimen
Khas Komando, mendakwa pertuduhan ke atas Zaidi sebagai tidak berasas
sama sekali.
"Pahlawan memandang serius pertuduhan yang dikenakan kepada Mejar Zaidi
bagi kedua-dua seksyen ini yang tiada kaitan dengan perilaku pegawai
tersebut," kata Asri.
Zaidi berdepan lima pertuduhan antaranya berkenaan di bawah Seksyen
50(2) Akta Angkatan Tentera 1972 sementara dua lagi membabitkan Seksyen
51 akta sama.
Seksyen 50(2) adalah membabitkan kesalahan tidak patuh kepada pegawai
atasan yang boleh dipenjara tidak lebih dua tahun, manakala Seksyen 51
pula tidak patuh kepada perintah tetap yang boleh dihukum penjara tidak
lebih dua tahun atau hukuman ringan lain.
Asri bagaimanapun mempertikaikan tindakan ke atas anggotanya tersebut
memandangkan ATM tidak pernah mengadakan mesyuarat, mengeluar ketetapan
dan arahan pilihan raya khusus bagi semua anggota tentera.
"Semestinya segala ketetapan dan arahan pilihan raya hendaklah
dimakumkan kepada anggota tentera supaya tidak berlaku perkara-perkara
yang bertentangan dengan Akta Angkatan Tentera.
"Penggunaan Akta Angkatan Tentera 1972 ke atas Mejar Zaidi menunjukkan
ATM tidak ada pendirian hanya mengikut jari telunjuk ahli politik
sahaja," katanya lagi.
Asri juga mempersoalkan tindakan tersebut diambil ke atas Zaidi hanya
kerana membuat laporan polis, malah langkahnya tersebut adalah
berlandaskan Perlembagaan negara.
"Selaku warganegara sesiapa sahaja yang tidak berpuas hati boleh
membuat laporan polis bersesuaian dengan hak individu yang termaktub
dalam Perlembagaan negara.
"Pahlawan amat prihatin dan mempersoalkan kenapa seorang anggota ATM
yang membuat laporan polis untuk menegakkan kebenaran tetapi dikenakan
pertuduhan," tambah Asri lagi.
Pahlawan ditubuhkan pada 16 September 2012 bertujuan memantau
organisasi kerajaan yang ada kaitan dengan kepentingan bekas pesara
anggota keselamatan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga
Tabung Angkatan Tentera, Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera dan
tabung amanah yang lain.
Kumpulan tersebut mempunyai kira-kira 8,000 ahli berdaftar yang terdiri
daripada pesara anggota keselamatan negara, seperti polis, tentera,
kastam, imigresen dan bomba daripada seluruh negara.
Pahlawan diterajui Asri sebagai presiden pertama dan timbalan presidennya, Mustafa Ghazanfar.
Meskipun terdiri daripad bekas penjawat awam, Pahlawan dilihat lebih
cenderung ke arah menyokong parti pembangkang Pakatan Rakyat dalam
isu-isu melibatkan tabung amanah selain menuntut hak kebajikan bekas
anggota keselamatan kepada kerajaan pusat. – 14 Februari, 2014.
No comments:
Post a Comment