Wednesday, February 26, 2014

Pemuda PAS gesa MAS jelas kerugian RM1.17b

25 Feb 2014

 
Pemuda PAS menggesa syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) menjelaskan laporan kerugian sebanyak RM1.17 bilion yang dicatatkan bagi tahun kewangan 2013.

Naib Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin, berkata penjelasan itu perlu kerana kerugian itu dicatatkan sewaktu MAS dilapor mengalami pertumbuhan jualan sebanyak 9.92 peratus, iaitu sebanyak RM15.12 bilion pada tahun lepas.

Beliau juga menuntut MAS mengemukakan laporan perjanjian 10 tahun Fleet Management Program bernilai USD510 juta, yang ditandatangani pada 12 Febuari lalu.

Perjanjian yang ditandatangani bersama Pratt & Whitney yang beroperasi di Hartford, Connecticut bersama penjelasan kerugian MAS membolehkan orang ramai menilai keberkesanan lima inisiatif pemulihan syarikat yang dirangka pada tahun 2012, katanya.

"Kertas laporan yang akan dibentangkan tersebut mestilah telus dan diaudit secara bebas oleh pihak luar," katanya dalam kenyataan media.

Dalam laporan media sebelum ini, MAS mencatat kerugian RM1.174 bilion sepanjang tahun lalu, iaitu hampir tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kerugian RM433 yang dicatatkannya pada tahun 2012.

Kerugian itu direkodkan di sebalik peningkatan pendapatan kasar sebanyak 36 peratus iaitu RM254 juta bagi tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember 2013 berbanding RM187 juta pada akhir 2012.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata, tahun lalu adalah tahun mencabar kerana persaingan sengit yang memberi kesan kepada pendapatan syarikat. Malaysiakini

No comments:

Post a Comment