19 Mac 2014
Pakar penerbangan tidak menolak kemungkinan berlakunya penyembunyian
fakta oleh pihak tentera di Asia selepas tentera Thailand mengambil masa
10 hari untuk melaporkan paparan radar mereka yang berkemungkinan
pesawat Malaysia Airlines MH370 yang masih belum ditemui.
David Learmount berkata, beberapa negara berkemungkinan menyembunyikan
maklumat radar kerana tidak mahu mendedahkan kekurangan dalam pertahanan
udara mereka, lapor MailOnline.
Portal berita Britain di bawah Daily Mail itu memetik kenyataan
Learmount dalam blognya: "Mungkin negara-negara seperti Malaysia tidak
seperti yang digembar-gemburkan.
"Dan mungkin juga seluruh dunia mengetahuinya," katanya merujuk kepada
Tentera Udara Malaysia yang hanya mendedahkan radar mereka mengesan
pesawat berkenaan beberapa hari selepas kehilangannya.
Learmount, bekas juruterbang dan kini pengarang operasi dan keselamatan
portal Flightglobal, berkata MH370 berkemungkinan terbang melintasi
beberapa negara Asean termasuk Thailand, Burma, China, Bangladesh,
India, Pakistan, Turkmenistan dan Afghanistan.
Beliau berkata, sesetengah negara ini berkemungkinan mempunyai data
penting berkenaan pesawat MH370 dan khuatir ia akan mendedahkan
kekurangan dalam sistem pertahanan negara mereka yang mahal.
Jika didedahkan pesawat yang tidak dikenali terbang melalui wilayah
mereka tanpa dapat dikesan, ia amat memalukan sistem pertahanan,
katanya.
Kerajaan Malaysia menyeru negara seperti Turkmenistan dan sekitar Laut
Kaspia untuk melihat rekod radar primer mereka bagi mengenalpasti
sebarang hubungan yang tidak dikenali di ruang udara mereka selepas
tujuh jam pesawat B777 itu hilang.
"Berdasarkan trek laluan sebenar pesawat, jika ia menghala ke barat
laut, ia termasuk jika tidak semua, sebahagian negara ini: Thailand,
Myanmar/Burma, China, Bangladesh, Bhutan, India, Nepal, Pakistan,
Afghanistan, dan Turkmenistan.
"Jika pesawat melalui arah itu, sudah pasti radar tentera di salah satu
negara tersebut akan menerima isyarat daripada pesawat yang tidak
dikenali, dan operator radar sudah pasti akan menghantar pesawat tempur
untuk memintas penceroboh," katanya, dipetik MailOnline.
Beliau berkata, tentera Malaysia jelas membiarkan pesawat tidak
dikenali melalui ruang udara mereka tanpa mengambil sebarang tindakan,
dan tidak mengakuinya. – 19 Mac, 2014. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment