Putrajaya
harus segera membersihkan nama juruterbang pesawat Malaysia Airlines
(MAS) MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah (gambar) dan pembantunya, Fariq
Abdul Hamid, bagi menghormati perasaan keluarga mereka, kata Ahli
Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz.
Ahli
Parlimen daripada DAP itu berkata, perasaan waris dan ahli keluarga
kedua-dua juruterbang itu perlu dihormati kerana siasatan yang
dijalankan setakat ini tidak mendapati mereka bersalah.
“Diharap pihak berkuasa segera mengisytiharkan juruterbang dan
pembantunya bersih daripada sebarang spekulasi bagi mengelak tekanan
emosi keluarga mangsa.
“Selagi tidak ada bukti asas dakwaan yang dilemparkan, harus diingat
juruterbang dan pembantunya adalah mangsa yang masih hilang,” katanya
dipetik daripada akhbar Sinar Harian.
Hujung minggu lalu, akhbar Britain Daily Mail melaporkan kemungkinan
teori pesawat MH370 dirampas sebagai protes terhadap keputusan Mahkamah
Rayuan yang mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah atas tuduhan
meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.
Akhbar Britian itu mendedahkan, beberapa jam sebelum berlepas dengan
pesawat Boeing 777-200ER (9M-MRO) untuk ke Beijing, Zaharie pergi ke
mahkamah pada 7 Mac untuk menyatakan sokongan terhadap Anwar.
Akhbar tersebut turut memetik sumber polis yang mengesahkan Zaharie,
53, merupakan seorang aktivis yang lantang dan berkemungkinan kecewa
dengan keputusan mahkamah.
Ariff berkata, objektif utama yang perlu difokuskan pada masa ini
adalah misi mencari pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal
itu bukan menuding jari kepada satu sama lain.
Katanya, dakwaan yang membabitkan Anwar tidak berasas kerana pada masa
ini juruterbang dan pembantunya tidak mengemukakan apa-apa tuntutan bagi
melindungi kepentingan ketua pembangkang itu.
“Apa kaitan sokongan politik ini dengan kehilangan pesawat? Adakah bagi
menuntut supaya semua kes Anwar ditarik balik? Jika demikian
objektifnya, mengapa tidak muncul dan membuat tuntutan demikian?
“Perasaan keluarga mangsa perlu dihormati dan objektif utama adalah mencari pesawat itu,” katanya. – 23 Mac, 2014. TMI
No comments:
Post a Comment