Harakahdaily Apr 25, 2014
- SALMIYAH HARUN
Ahli Parlimen Bachok Ahmad Marzuk Shaary berkata, Suhakam perlu bertindak agar perbuatan khianat ini dihentikan segera dengan menarik balik pertukaran tersebut.
Malah katanya, Suhakam juga digesa menyiasat individu-individu yang menyalahgunakan kuasa mereka sebagai penjawat awam yang melakukan pencabulan hak asasi manusia terhadap guru sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan sebagaimana jaminan dan Artikel 21 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948.
"Tidak wajar pendidikan dipolitikan oleh pihak-pihak yang berkepentingan dan melakukan pencabulan hak asasi manusia yang jelas bercanggah dengan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada Harakahdaily.
Perintah-perintah am Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib)1993, Garis Panduan Tindakan Ke Atas Sokongan Yang Diterima Daripada Pemimpin Kerajaan, Individu Berpengaruh atau Mana-mana Orang Mengenai Sesuatu Urusan Kerajaan dan Garis Panduan Pertukaran Guru Antara Bahagian, Negeri, Daerah atau Dalam Daerah, jelas Marzuk ianya sudah dijadikan 'sampah' oleh pegawai awam khususnya pegawai dalam Perkhidmatan Pendidikan di Negeri Kelantan ekoran campurtangan politik yang ketara dan membimbangkan.
Hal ini katanya, telah dibuktikan melalui surat Cadangan Penempatan /Pertukaran Guru Sekolah Rendah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok 2013 bertarikh 9 Mei 2013 yang ditujukan kepada Pengarah Pelajaran Kelantan bersama senarai pertukaran guru akibat politik selepas PRU13 yang menyenaraikan 99 nama guru yang menjadi mangsa pertukaran.
Antaranya, 10 senarai nama guru yang telah ditukar, 12 guru Pendidikan Islam sekolah rendah dalam senarai cadangan bertukar ke luar PPD Bachok, 13 guru J-Qaf dicadang bertukar ke luar PPD Bachok, 3 guru J-Qaf sekolah rendah bertukar ke luar negeri Kelantan, 20 guru sekolah rendah dalam daerah manakala 14 guru dari sekolah menengah, selain cadangan 25 guru bertukar di dalam negeri serta cadangan 12 guru ditukar antara negeri.
"Guru adalah individu yang banyak mengorbankan diri, tenaga masa dan usaha untuk melahirkan warganegara berilmu dan berpengetahuan. Tidak wajar mereka diganggu dengan apa-apa sahaja intimidasi atau percubaan terhadap ugutan seperti pertukaran, dibuang kerja, diganggu semosi, ancaman kekerasan dan seumpamanya," kata beliau.
Keadaan ini katanya, sangat memalukan dunia pendidikan negara dan mencemarkan nama baik Malaysia di mata dunia kononya dikenali sebagai Hub Pendidikan Dunia, namun hanyalah omong kosong sahaja.
"Jika guru diperlakukan sebegini rupa seolah-olah 'binatang ternakan' yang dipelihara untuk disembelih oleh pihak-pihak tertentu,"katanya.
Hari ini, seramai lima orang guru dari daerah Bachok bersama beliau tampil mengadu masalah pertukaran politik kepada Suhakam.
Turut bersama dalam pertemuan itu, Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) Normala Sudirman, mereka juga menyerahkan memorandum Bantahan Pertukaran Warga Pendidik Secara Zalim kepada Pesuruhjaya Suhakam James Nayagam di Bangunan TH Perdana pada 3.00 petang tadi.
Memorandum tersebut turut melampirkan senarai guru terbabit serta alasan pertukaran antaranya, Bekas Imam Muda Masjid Bachok, tidak menyokong Umno, suami ketua konvo kereta PAS, dan menampal pelekat 'R' di kereta.
Sebelum ini, Ahmad Marzuk mendedahkan PPD Bachok di bawah Kementerian Pelajaran telah menukar 10 guru di kawasan berkenaan atas sebab dendam politik di Parlimen.
Antara yang tersenarai adalah isteri kepada Naib Presiden PAS, Pusat Datuk Husam Musa iaitu Datin Rohana Abd Rahman.
Menurut Marzuk, antara 40 alasan politik pertukaran yang diberikan adalah kerana suami calon PAS, keluarga PAS tegar dan membekal makanan ke pos PAS.
No comments:
Post a Comment