Amerika Syarikat sepatutnya yang menjadi
ketua dalam siasatan berhubung kehilangan penerbangan MH370, walaupun
Malaysia menyatakan ia akan mengetuai pasukan penyiasat multinasional
itu, kata kolumnis Washington Post.
Penganalisis politik, Ed Rogers dalam artikelnya bertajuk “Ini masanya
Amerika ambil alih siasatan pesawat MH370 Malaysia Airlines” semalam
berkata, siasatan kejadian itu sudah berlanjutan untuk tempoh yang
terlalu lama.
“Republican perlu mendesak presiden untuk memberitahu dunia, Amerika
Syarikat mengambil alih peranan ketua dalam siasatan, mencari, menemui
dan laporan akhir.
“Sudah tentu, beliau perlu berbuat demikian secara diplomatik dan
menggalakkan pertolongan pihak lain, tetapi sudah tiba masanya tentera
laut Amerika Syarikat memainkan peranan lebih penting.
“Di penghujungnya, kita patut hantar bil kepada Malaysia. Jika mereka
tidak membayarnya, kita boleh mengenakan sekatan perdagangan. Ini bukan
lagi tragedi asing, ini adalah masa untuk mendapatkan kepastian,”
katanya.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, semalam
berkata bekas ketua penjawat awam akan mengetuai pasukan penyiasatan
multinasional untuk menyiasat kehilangan pesawat MH370.
Beliau berkata, Datuk Kok So Chon dilantik sebagai ketua penyiasat dalam pasukan siasatan antarabangsa itu.
Kok adalah bekas ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam dan juga bekas
wakil tetap ke Organisasi Penerbangan Awam di Montreal, Kanada.
"Adalah penting untuk Putrajaya membentuk pasukan bebas ini yang bukan
sahaja cekap dan telus tetapi juga boleh dipercayai,” kata Hishammuddin.
Rogers berkata, sumber Amerika sudah pun dihantar untuk mencari bangkai
pesawat itu dan pihak negara lain turut bekerja keras, dan keadaan itu
menyebabkan dunia kini keliru siapa sebenarnya yang mengetuai operasi
itu dan siapa yang boleh memberitahu perkara sebenar.
“Melihat kepada apa yang berlaku setakat ini, bagaimana kita boleh
mengharapkan Malaysia untuk memberitahu perkara sebenar kepada dunia?
Jika laporan hari ini adalah tepat, dan ada syarikat swasta yang menemui
bukti bangkai pesawat itu sejak sebulan lalu, ia akan membuktikan apa
yang saya cakap.
“Seseorang perlu jadi ketua, dan ia adalah Amerika. Ada banyak
kepentingan perlu dijaga. Apa yang penting ialah kebenaran,” katanya.
Rogers turut mengkritik Putrajaya kerana tidak menyelaras pencarian itu
dengan baik, dan menambah idea meminta Amerika Syarikat mengambil alih
adalah langkah berisiko.
“Amerika mengambil alih dengan risiko, dan ia tidak konsisten dengan
hasrat presiden untuk menolak idea eksepsionalisme Amerika – atau
kepimpinan Amerika pada era Obama.
“Tidak hairan presiden bersimpati dengan idea eksepsionalisme Malaysia.
Mereka sudah mempunyai masa yang cukup untuk membuktikan diri, dan
mereka masih belum berjaya,” katanya.
Artikel pendapat Roger itu bagaimanapun mendapat banyak komen negatif daripada pembaca kolum itu.
@malloy207 menulis:”Ed, sama ada 1) seseorang menceroboh masuk kolum
anda dan menulis perkara mengarut menggunakan nama anda, atau 2) anda
sudah hilang akal.
@BillWeston menulis:”Ed adalah jelas seorang rakyat Amerika yang “luar
biasa” kerana dengan logik kebudak-budakannya menghina kemampuan negara
lain.”
@JOsborne menyertai debat itu dengan menulis:”Saya tidak tahu apa yang
lebih memalukan, seseorang benar-benar menulis artikel ini atau WP yang
menerbitkannya.”
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) pagi ini berkata, pencarian
penerbangan MH370 kini memasuki fasa baru dan akan beralih kepada
pencarian bawah laut dalam minggu yang akan datang.
Sementara itu, Bluefin-21 yang selesai mencari di kawasan seluas 314
kilometer persegi di sekitar kawasan yang dikesan oleh pengesan ping
tertunda, akan meneruskan pencarian di kawasan bersebelahan.
Misi ke-17 akan dijalankan apabila keadaan cuaca bertambah baik yang
membolehkan Bluefin-21 diturunkan dengan selamat daripada kapal
pertahanan Australia, Ocean Shield, kata kenyataan JACC.
Pesawat Tentera Udara Diraja Australia AP-3C Orion juga kekal diletakkan dalam keadaan bersedia di Perth. – 30 April, 2014. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment