Saturday, April 12, 2014

Azmin jelaskan kenapa tak cabar presiden PKR

12 Apr 2014
Timbalan Presiden PKR Azmin Azli menjelaskan, beliau tidak bertanding kerusi presiden kerana tidak nampak keperluan untuk mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim atau isterinya Datuk Seri Wan Azizah Ismail.
 
Azmin berkata, kedua-dua calon presiden itu lebih daripada layak untuk memimpin parti, terutamanya ketika keadaan mencabar.
 
“Anwar lambang perjuangan parti dan kita masih perlukannya untuk memimpin,” kata Azmin dalam wawancara dengan beberapa pemberita di Penanti, Pulau Pinang semalam.
 
Azmin berkata, jika Anwar gagal mengetepikan sabitan kes liwat yang membawa hukuman lima tahun penjara, Azizah juga mampu memimpin parti itu.
 
Beliau ditanya kenapa tidak mencabar kerusi presiden setelah berkhidmat pada parti selama 15 tahun sejak era reformasi 1998, selepas pemecatan Anwar sebagai timbalan perdana menteri yang kemudiannya dipenjara enam tahun.
 
Anwar dan Azizah kita sama-sama bersaing untuk kerusi nombor satu dalam PKR itu.

Azmin pula berdepan tiga pencabar untuk kerusi timbalan presiden yang disandangnya. 
 
Beliau dicabar Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution dan pemimpin akar umbi  K Rama Chandram.
 
Azmin berdepan saingan hebat, terutamanya daripada kumpulan Saifuddin (kanan) yang bergabung tenaga dengan dua pemimpin popular parti Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli. 
 
Nurul dan Rafizi bertanding jawatan naib presiden. Malaysiakini

No comments:

Post a Comment