GEORGE TOWN:
DAP Pulau Pinang menyenaraipendekkan lima nama calon bagi Pilihan Raya
Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor yang akan diadakan pada 25 Mei
depan.
Pengerusinya Chow Kon Yeow (gambar) berkata
nama calon berkenaan akan diserahkan untuk dipertimbangkan Jawatankuasa
Eksekutif Pusat (CEC) yang akan bermesyuarat esok.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut berhubung senarai calon itu.
"Semua calon bukan Adun (Anggota
Dewan Undangan Negeri)...tiada wakil rakyat dalam senarai," katanya
kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Tukar Barang sempena
sambutan Hari Bumi 2014, di Lebuh Pantai di sini hari ini.
Chow juga enggan mengulas sama ada anak mendiang Karpal Singh turut disenarai pendekkan sebagai calon PKR itu.
Spekulasi hangat menyatakan anak
lelaki Karpal Singh, Ramkarpal atau anak perempuannya Sangeet Kaur Deo
akan dipilih untuk bertanding kerusi Parlimen Bukit Gelugor yang
majoriti pengundinya terdiri daripada kaum Cina.
Kerusi Bukit Gelugor kosong
berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh daripada DAP, berikutan
nahas jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran
Gua Tempurung di Kampar, Perak 17 April lepas.
Karpal Singh memenangi kerusi itu
pada 2004 dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Lim Boo Chang
dengan majoriti 1,261 undi.
Pada pilihan raya umum 2008, Karpal
Singh mempertahankan kerusi Bukit Gelugor selepas menewaskan calon BN
Datuk Koay Kar Huah dengan majoriti 21,015 undi dan memenanginya lagi
pada 2013 dengan majoriti lebih besar 41,778 undi, mengalahkan calon BN
Teh Beng Yeam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
menetapkan 25 Mei sebagai hari pengundian untuk PRK Parlimen Bukit
Gelugor sementara hari pencalonan pada 12 Mei. Hari pengundian awal
ditetapkan pada 21 Mei. - Bernama
No comments:
Post a Comment