Friday, April 4, 2014

Pakatan iringi Mejar Zaidi hadir perbicaraan, pertikai bila pembekal dakwat akan didakwa

OLEH MD IZWAN April 04, 2014
Pakatan Rakyat dan penyokong akan berhimpun di Kem Sungai Besi Selasa depan sebagai sokongan kepada Mejar Zaidi Ahmad. Gambar fail The Malaysian Insider.Pakatan Rakyat dan penyokong akan berhimpun di Kem Sungai Besi Selasa depan sebagai sokongan kepada Mejar Zaidi Ahmad. Gambar fail The Malaysian Insider.Menjelang perbicaraan Mejar Zaidi Ahmad Selasa depan, Pakatan Rakyat (PR) menggesa penyokongnya untuk turun berhimpun di Kem Sungai Besi bagi membantah pendakwaan ke atas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, berkata penyokong Pakatan bersama badan bukan kerajaan akan berhimpun pada 8 April ini bagi memberikan sokongan ke atas ketidakadilan terhadap Zaidi.
"Kami Pakatan Rakyat dan NGO lain akan mengiringi Mejar Zaidi pada hari perbicaraan tersebut jam 9 pagi di Kem Sungai Besi.

 "Kami akan beri sokongan kepada Zaidi atas ketidakadilan yang berlaku," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS, hari ini.
Mohamad turut membidas Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana bersekongkol terhadap pendakwaan tersebut.
"Sepatutnya SPR yang didakwa kerana gagal menjalankan tugas tetapi sebaliknya yang berlaku," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang, berkata kerajaan mengambil sikap lepas tangan apabila pembekal dakwat tersebut sehingga hari ini bebas dan tidak dihadapkan ke muka pengadilan.
"Kami mengganggap pendakwaan ke atas beliau adalah salah, Zaidi didakwa tetapi pembekal dakwat tidak didakwa pula," kata Chua pada sidang media sama.
Sebelum ini, Bersih 2.0 juga melancarkan kempen "Rakyat sokong Mejar Zaidi" untuk menyokongnya.

 Zaidi kini didakwa atas beberapa pertuduhan di bawah Seksyen 502(2) dan Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972 di Mahkamah Tentera Kuala Lumpur.
Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan media mengenai dakwat kekal tanpa kebenaran Kementerian Pertahanan dan gagal melalui saluran tentera yang betul untuk menyuarakan kekecewaannya ketika membuat laporan polis dan bercakap kepada media pada 1 Mei Tahun lalu di luar perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kepala Batas, Pulau Pinang.
Pegawai veteran itu juga didakwa menghantar dua sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berbaur politik dan hasutan ketika bertugas di Pengkalan Udara Butterworth 1 Mei lalu.

Beliau juga didakwa kerana membuat kenyataan media meluahkan rasa tidak puas hati mengenai dakwat kekal tanpa yang sepatutnya perkara itu disiasat melalui saluran pihak Angkatan Tentera dan membuat kenyataan itu tanpa kelulusan Majlis Angkatan Tentera di Taman Bertam Indah, Kepala Batas pada 3 Mei tahun lalu.

Kes beliau ditetapkan pada 8 hingga 10 April ini di hadapan enam ahli panel iaitu Kolonel Saadon Hasnan, Leftenan Kolonel Zainurin Mohd Dom, Mejar Khuzairi Mohd Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib, Mejar S Nadzeer Salehuddin dan Mejar Noor Azman Ahmad.
Jika didapati bersalah, bapa kepada empat anak itu yang berkhidmat selama 25 tahun akan menghadapi hukuman penjara dan hilang pencen. – 4 April, 2014. The Malaysian Insider

1 comment:

  1. bila pesawat tak dikenali melintas ruang udara negara tanpa sbrg tindakan oleh tudm, dianggap tak apa. tidak mengancam keselamatan negara. kalau kat negara lain spt netherland, dah hantar pesawat pejuang utk memintas.f

    repot polis sbb dakwat tipu itu yg dianggap mengancam keselamatan negara. sejak bila pula anggota tentera tidak boleh buat laporan polis.

    kalau nak buat laporan polis pun kena minta kebenaran pegawai atasan, patutlah tudm ambil seminggu nak kenal pasti MH370 yg buat air turn back!

    ReplyDelete