28 Apr 2014
KUALA LUMPUR: PAS terkejut dengan
kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata
Umno mahu berkerjasama dengan PAS untuk memberikan pemahaman tentang
hudud.
Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim
Tuan Man berkata, kenyataan Muhyiddin itu sekaligus memberi maksud
bahawa Umno tidak pernah berbuat apa-apa untuk menjelaskan isu hudud
kepada masyarakat selama ini.
"Kita terkejut dengan kenyataan Muhyiddin yang baru nak bagi penjelasan.
"Selepas 50 tahun lebih dah merdeka...
maknanya Umno tak buat apa-apa selama ini untuk memberi kefahaman
tentang undang-undang Islam," kata beliau ketika ditemui Harakahdaily
hari ini.
Beliau berkata demikin ketika diminta
mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno itu semalam yang berkata
mereka ingin bekerjasama dengan PAS bagaimana untuk memberikan pemahaman
kepada semua pihak tentang hudud.
Jelas Muhyiddin, adalah penting untuk
duduk semeja dan berbincang sebelum PAS bertindak membawa Rang
Undang-Undang Persendirian Kanun Jenayah Syariah II 1993, Kelantan ke
Parlimen.
Muhyiddin juga memberitahu cadangan itu
telah diutarakan kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar
Nik Abdullah semalam.
Dalam kenyataannya semalam, Muhyiddin
juga turut membayangkan bahawa Umno sukar untuk menyokong usul yang akan
dibawa oleh PAS itu.
"Kita mahu tahu ceritanya dahulu. Kalau tak sokong nanti kata tak sokong hudud...ia membawa banyak makna.
"Kita mungkin tidak bersetuju mengenai usul itu. Ini satu perkara baharu dalam negara," katanya.
Pada masa yang sama beliau juga mengakui bahawa masih ramai yang tidak memahami hudud. - Harakahdaily
No comments:
Post a Comment